PASARAN

Dagangan Pasaran Getah Dijangka Mendatar Minggu Depan

14/02/2026 10:31 AM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pasaran getah dijangka mendatar dengan kemungkinan meningkat pada minggu depan, disokong oleh pengeluaran lateks lebih rendah berikutan musim daun getah luruh.

Pakar industri Denis Low berkata pokok getah kini memasuki musim daun luruh lebih awal yang telah bermula untuk mengekang pengeluaran lateks dan berkemungkinan menyebabkan bekalan terjejas.

Beliau berkata keadaan itu dijejaskan lagi oleh hujan lebat berterusan yang memberi kesan kepada output dan meruncingkan lagi bekalan yang terhad.

“Keadaan pengeluaran lebih rendah ini berkemungkinan mendorong kenaikan harga dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, kami melihat aktiviti pembelian yang kurang memberangsangkan dari China menjelang cuti panjang bersempena Tahun Baharu Cina ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang peniaga berkata pasaran getah dijangka kekal tidak berubah hingga sedikit positif pada minggu depan, disokong oleh bekalan global yang agak ketat serta permintaan stabil daripada sektor tayar dan industri yang berpotensi mengehadkan risiko penurunan harga.

Namun, katanya, kenaikan itu berkemungkinan terhad berikutan pergerakan harga minyak mentah, turun naik mata wang termasuk pengukuhan ringgit serta ketidaktentuan berterusan berkaitan dasar monetari Amerika Syarikat dan keadaan ekonomi global secara menyeluruh.

“Aktiviti dagangan juga dijangka lebih perlahan berikutan cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 susut 3.5 sen kepada 757 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 578.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523927