AM

Kerangka Struktur Utama Wisma ELM Kekal Utuh Dan Stabil - AmanahRaya REIT

14/02/2026 02:55 PM

KUALA LUMPUR, Feb 14 (Bernama) -- Kerangka struktur utama bangunan Wisma ELM di Bukit Damansara disahkan kekal utuh dan stabil dari segi struktur susulan penilaian teknikal oleh jurutera bebas. 

AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd selaku Pengurus AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) berkata semakan struktur dan sistem yang dijalankan oleh perunding bebas yang dilantik itu tidak mengenal pasti sebarang risiko terhadap integriti bangunan susulan insiden 12 Januari lepas.

Penemuan tersebut mendapati bahawa bangunan itu kekal stabil, dengan penilaian menunjukkan bahawa impaknya tertumpu pada kawasan dan sistem mekanikal tertentu.

"Penilaian semula itu tidak mengenal pasti sebarang kompromi struktur terhadap integriti bangunan. Tiada petunjuk daripada penilaian bebas tentang sebarang risiko struktur sistemik," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut AmanahRaya REIT, firma itu telah bekerjasama rapat dengan Universiti HELP, pengurus hartanah Knight Frank Malaysia Sdn Bhd dan pihak berkuasa berkaitan sepanjang proses penilaian.

AmanahRaya REIT berkata semua langkah berjaga-jaga dan pemeriksaan keselamatan yang diperlukan telah dijalankan mengikut piawaian kejuruteraan profesional.

"Mana-mana kawasan yang dikenal pasti yang memerlukan pembetulan, pembaikan atau kawalan keselamatan yang dipertingkatkan sedang dijalankan secara berstruktur dan terkawal, sebelum sebarang keputusan mengenai penyambungan semula operasi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pihak pengurusan AmanahRaya REIT menegaskan keselamatan kekal menjadi keutamaan utama dan akan terus mematuhi panduan kawal selia sebelum mengambil langkah selanjutnya.

"Kami bertindak pantas melantik profesional bebas bagi memastikan penilaian yang teliti dan objektif. Penemuan ini memberikan jaminan mengenai integriti struktur bangunan, dan kami akan terus melakukannya dengan telus apabila siasatan menyeluruh selesai," katanya.

 AmanahRaya REIT memberi jaminan terus komited menyokong Universiti HELP dan komunitinya sepanjang tempoh ini dan perkembangan terkini selanjutnya akan dimaklumkan apabila mereka memperoleh maklumat yang disahkan.

Kejadian pada 12 Januari lepas di Bukit Damansara itu meragut nyawa seorang pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri, dan mencederakan sembilan yang lain, termasuk empat pelajar.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524028