KUALA TERENGGANU, 14 Feb (Bernama) -- Sebanyak 2,000 ekor ayam yang dijual pada harga RM6.90 sekilogram habis dalam tempoh tiga jam di program Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu di Tok Adis, Kuala Ibai, di sini.
Selain itu 1,500 kilogram daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM21 sekilogram juga habis dijual dalam tempoh sama selepas diserbu orang ramai.
Pengarah LPP Terengganu Hasmila Abas berkata orang ramai mula menunggu seawal 7.30 pagi bagi mendapatkan pelbagai barangan mentah, barangan dapur dan buah-buahan yang ditawarkan pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Beliau berkata lebih istimewa LPP turut menyediakan jualan 500 Bakul MADANI yang mengandungi beras, minyak masak, gandum dan sardin yang dijual pada harga RM20 berbanding nilai sebenar iaitu RM55.
"Antara barangan lain yang mendapat sambutan orang ramai ialah telur ayam gred A yang dijual pada harga RM10 sepapan, beras tempatan pada harga RM20 untuk pek 10 kilogram dan beras import RM14 untuk pek lima kilogram," katanya ketika ditemui pada program Jualan Agro MADANI itu, hari ini.
Hasmila berkata Jualan Agro MADANI tersebut diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-53 LPP yang disambut pada 14 Feb setiap tahun.
Beliau berkata Tok Adis, Kuala Ibai merupakan lokasi ketiga penganjuran selepas Sura Gate, Dungun dan Kuala Berang, Hulu Terengganu yang berlangsung pada 10 dan 12 Feb lepas.
"Kerajaan MADANI melalui LPP memperuntukkan subsidi kira-kira RM35,000 hingga RM40,000 untuk setiap penganjuran program Jualan Agro MADANI.
"Pada dua program terdahulu, LPP berjaya mencatat jualan bernilai RM200,000 dengan jumlah pengunjung sekitar 27,000 orang. Kita anggarkan pengunjung yang datang hari ini juga melebihi 15,000 orang, begitu juga penganjuran terakhir di Besut pada 16 Februari nanti," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung Rosmalia Mohd Lazim, 46, dari Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus berkata dia tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan makanan dan bahan mentah pada harga murah untuk menjimatkan perbelanjaan.
Meskipun terpaksa beratur panjang, dia sanggup menunggu kerana ingin membeli stok makanan bagi kegunaan bulan Ramadan.
"Alhamdulillah saya dapat beli tiga ekor ayam dan lima kilogram daging untuk bekalan bulan puasa. Memang sangat jimat kerana kalau beli pada harga biasa semua sekali dalam RM200, tetapi di Jualan Agro MADANI tak sampai RM150," katanya.
Seorang lagi pengunjung Mohd Arshad Ngah, 56, dari Chendering berkata dia mengambil kesempatan untuk berbelanja bersama isteri sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Mohd Arshad berkata dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, Jualan Agro MADANI amat dinanti-nantikan rakyat terutama golongan B40.
"Bagi keluarga yang banyak tanggungan, inisiatif ini amat membantu. Saya sendiri mempunyai tiga anak yang masih belajar dan menjaga dua cucu yang yatim piatu.
"Saya amat harap kerajaan dapat perbanyakkan inisiatif sebegini di seluruh ceruk negeri kerana ia amat membantu rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.
-- BERNAMA