DUNIA

Ogawa Dipilih Sebagai Ketua Pembangkang Utama Jepun Selepas Kekalahan Pilihan Raya

13/02/2026 07:38 PM

TOKYO, 13 Feb (Bernama-Kyodo) -- Pasukan pembangkang utama Jepun, Centrist Reform Alliance (CRA), memilih Junya Ogawa, 54, sebagai ketua baharunya pada Jumaat, ketika parti yang baru ditubuhkan itu memulakan rombakan susulan kekalahan besar dalam pilihan raya umum baru-baru ini, lapor Kyodo News.

Ogawa, bekas Setiausaha Agung Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ), menewaskan Takeshi Shina, 59, bekas Pemangku Ketua Penggubal Dasar CDPJ, dalam persaingan dua penjuru, dengan memenangi sokongan 27 daripada 49 anggota parlimen CRA.

Pertandingan singkat selama dua hari itu diadakan menjelang sesi parlimen khas minggu depan, di mana Sanae Takaichi dijangka dipilih semula sebagai perdana menteri susulan kemenangan besar gabungan pemerintahannya dalam pilihan raya Dewan Perwakilan pada Ahad.

CRA ditubuhkan pada Januari oleh anggota dewan rendah daripada CDPJ dan parti Komeito, hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya awal, menyaksikan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Takaichi memperoleh majoriti lebih dua pertiga dalam dewan yang mempunyai 465 kerusi itu.

Bagaimanapun, CRA kehilangan lebih separuh daripada 167 kerusinya, menyebabkan ketua bersamanya, Yoshihiko Noda, 68, dan Tetsuo Saito, 74, masing-masing bekas ketua CDPJ dan Komeito, meletak jawatan sebagai mengambil bertanggungjawab.

Tempoh Ogawa sebagai pemimpin akan berakhir pada hujung Mac tahun depan.

Walaupun 28 daripada anggota CRA yang baru dipilih berasal daripada pihak Komeito, tiada seorang pun yang menyertai pertandingan kepimpinan itu. Disokong oleh organisasi Buddha awam terbesar di Jepun, Soka Gakkai, Komeito mengakhiri pakatan 26 tahunnya dengan LDP pada Oktober.

Pemimpin baharu itu bakal menghadapi cabaran untuk meredakan pergeseran dalaman yang berpunca daripada persepsi pemberian layanan istimewa kepada calon tajaan Komeito semasa proses pemilihan, yang menyebabkan pihak CDPJ hanya memiliki 21 kerusi selepas kehilangan lebih 100 kerusi.

Komeito berjaya memenangi semua calon yang ditonjolkan selepas diberi keutamaan dalam senarai perwakilan berkadar CRA sebagai balasan kerana menarik diri daripada 289 kawasan pilihan raya tunggal, termasuk satu kawasan yang sebelum ini dipegang oleh Saito.

Prestasi buruk CRA dalam pilihan raya itu menjadikannya parti pembangkang utama terkecil dalam sejarah pascaperang Jepun, gagal memenuhi syarat minimum untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan belanjawan atau usul tidak percaya terhadap Kabinet secara bersendirian.

Ahli parlimen daripada CDPJ dan Komeito di dewan yang satu lagi, Dewan Kaunselor, masih belum bergabung di bawah payung CRA.

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523777