AM

Felcra Salur Dana RM68.48 Juta Kepada Johor Bantu Golongan Miskin Tegar

13/02/2026 03:08 PM

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- Felcra Bhd (Felcra) menyalurkan dana sebanyak RM68.48 juta kepada Kerajaan Negeri Johor bagi menyokong program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) tahun ini. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dana tersebut akan dimanfaatkan secara telus, tersusun dan bersasar bagi membantu golongan miskin tegar yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.

Selain itu, katanya, syarikat tersebut juga telah menyalurkan RM311.9 juta daripada keuntungannya kepada lebih 11,000 peserta dalam tempoh lima tahun, sekaligus membuktikan bahawa sektor pertanian dan pengurusan tanah yang cekap mampu menjana pulangan mapan serta meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor.

"Insya-Allah kita akan terus memperkukuh kerjasama bersama Felcra dalam agenda pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pada masa sama, Onn Hafiz merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Felcra Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan. 

Beliau berkata semasa pertemuan bersama Ahmad Jazlan, pelbagai perkara berkaitan pengukuhan operasi dan pengurusan aset Felcra di Johor telah dibincangkan bagi memastikan tadbir urus yang lebih teratur, telus dan berdaya saing.

“Langkah ini penting supaya setiap fasiliti dan projek yang dilaksanakan terus memberi manfaat sepenuhnya kepada peserta serta komuniti setempat.

“Semoga sinergi erat ini akan terus memperkukuh ekonomi luar bandar, menjamin kesejahteraan peserta sekali gus memacu kemakmuran Johor secara inklusif, Insya-Allah," kata Onn Hafiz.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523622