EKONOMI

Pengukuhan Ringgit Ke RM3.89 Isyarat Keyakinan Terhadap Asas Ekonomi Negara

13/02/2026 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pengukuhan ringgit ke RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin teguh terhadap asas ekonomi negara walaupun persekitaran global kekal mencabar.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, berkata prestasi memberangsangkan itu menggambarkan keberkesanan kepimpinan Anwar Ibrahim dalam memastikan kestabilan politik serta pelaksanaan dasar ekonomi yang konsisten dan berdisiplin.

Beliau berkata langkah memperkukuh pengurusan fiskal, membanteras ketirisan dan meningkatkan tadbir urus telah mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, sekali gus menyokong aliran masuk modal asing dan memperkukuh nilai mata wang negara.

“Peningkatan keyakinan pelabur asing membuka peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi, pembuatan bernilai tambah tinggi serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Farhan berkata apabila lebih banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, limpahan ekonomi akan dirasai penduduk tempatan termasuk golongan belia dan usahawan.

Beliau berkata pengukuhan ringgit turut memberi impak langsung kepada kos sara hidup, khususnya melalui pengurangan kos import barangan dan bahan mentah, sekali gus membantu mengekang tekanan harga.

“Nilai mata wang yang lebih kukuh menyumbang kepada kestabilan harga dan memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif bantuan serta perlindungan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat," katanya.

Ahmad Farhan berkata pengukuhan ringgit bukan sekadar pergerakan angka di pasaran pertukaran asing, sebaliknya mencerminkan pemulihan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Pengukuhan berterusan ini menghantar mesej jelas bahawa dasar ekonomi yang dilaksanakan secara konsisten, telus dan berintegriti mampu memacu pertumbuhan mampan serta membawa manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523600