KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket yang berperanan membangunkan sistem backoffice dan platform perjudian dalam talian menerusi operasi khas “Op Angsa”, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata dalam operasi serentak bermula 2.30 petang itu, sebanyak 388 individu ditahan melibatkan serbuan ke atas 17 premis perniagaan dan kediaman di sekitar Kuala Lumpur, Selangor serta Pulau Pinang.
Beliau berkata mereka yang ditangkap terdiri daripada 236 lelaki dan 152 wanita berusia antara 20 dan 48 tahun, termasuk lapan warga asing dari Vietnam, Singapura, Thailand dan Indonesia.
"Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti membangunkan platform perjudian dan reka bentuk promosi bagi pasaran pelanggan dalam serta luar negara.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk membangunkan platform tersebut selain dua kenderaan mewah jenis Lamborghini dan BMW serta beberapa jam tangan mewah pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata operasi yang diterajui Bahagian (D7) Bukit Aman itu melibatkan kekuatan 372 pegawai dan anggota daripada pelbagai elemen JSJ.
Beliau berkata tujuh kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a), Seksyen 4B(b) serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakat jahat jenayah.
"Siasatan lanjut kini diteruskan bagi mengenal pasti pemegang jawatan dalam syarikat atau pertubuhan yang terlibat selaras dengan peruntukan Seksyen 20A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
"PDRM komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan menyeluruh ke atas semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial terpelihara," tegas beliau.
Kesemua tangkapan dibenarkan reman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
-- BERNAMA