BANGI, 11 Feb (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau penularan video didakwa berkaitan amalan Syiah yang tular di media sosial dan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya maklum penularan video berkenaan yang didakwa berlaku dalam kumpulan atau di markas tertentu.
“Kita dapat maklumat dan bekerjasama dengan PDRM agar perkara ini tidak mengganggu keselamatan negara.
“Kita mahu mengelakkan daripada disebar atau (cubaan) mendapatkan ahli baharu atau menularkan pengaruh,” katanya.
Sirajuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama-sama Sekretariat Dakwah Korporat Jakim di sini hari ini.
Beliau berkata susulan penularan di media sosial, pihaknya akan berbincang dengan MCMC untuk tindakan lanjut.
Selain itu, beliau berkata pemantauan juga dilaksanakan secara berterusan pada peringkat negeri oleh jabatan dan majlis agama negeri.
Baru-baru ini, video berdurasi 20 saat memaparkan sekumpulan lelaki didakwa warga asing pengikut Syiah sedang berzikir sambil menari di sebuah markas ajaran itu di ibu negara tular di media sosial.
Sementara itu, Jakim dalam kenyataan memaklumkan ajaran Syiah difatwakan bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jawatankuasa Fatwa pada pelbagai peringkat di Malaysia, antaranya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.
Selain itu, hampir semua negeri termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan telah mengeluarkan fatwa yang melarang atau mengharamkan penyebaran ajaran Syiah dalam kalangan umat Islam.
Jakim memaklumkan semakan media sosial mendapati isu itu mendapat perhatian meluas warganet, termasuk dikongsi semula oleh beberapa tokoh agama dengan ramai menggesa supaya tindakan segera diambil.
Jakim berkata keprihatinan warganet mencerminkan tahap keresahan awam yang tinggi terhadap dakwaan aktiviti ajaran Syiah.
-- BERNAMA