AM

LEKAS Aktifkan "Smart" Lane Bermula Khamis Tangani Kesesakan Waktu Puncak

11/02/2026 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) akan mengaktifkan sistem Smart Lane di beberapa seksyen terpilih bermula esok bagi mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak pagi dan petang.

Lokasi yang terlibat adalah Kilometer (KM) 1.0 hingga KM0.1 arah utara dari Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) ke Persimpangan Kajang Perdana (SILK) menuju Putrajaya, manakala bagi arah selatan melibatkan KM0.0 hingga KM0.4 dari Persimpangan Kajang Perdana (SILK) ke Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS).

LEKAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan itu telah mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pelan mitigasi kesesakan bagi meningkatkan kelancaran trafik serta memperkukuh tahap keselamatan jalan raya di lokasi yang dikenal pasti sering mengalami kesesakan.

Menurut kenyataan itu sistem Smart Lane mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada dengan membenarkan penggunaan sementara lorong kecemasan sebagai lorong tambahan semasa waktu operasi bagi meningkatkan kapasiti dan kelancaran trafik.

Bagi memastikan keselamatan, pelbagai langkah diambil termasuk pemasangan kon trafik di lokasi terpilih, lampu amaran serta papan tanda panduan.

Laluan itu akan dilengkapi papan tanda “Smart Lane Mula” dan “Smart Lane Tamat” serta lampu LED hijau yang menyala ketika lorong dibuka dan tidak menyala apabila ditutup, manakala lorong kecemasan akan dikembalikan kepada fungsi asal di luar waktu operasi.

Ketua Pegawai Operasi LEKAS Chua Lay Hoon berkata pengaktifan Smart Lane mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam pengurusan trafik secara proaktif khususnya di kawasan persimpangan kritikal.

“Dengan penggunaan sementara lorong kecemasan serta penambahbaikan papan tanda destinasi, kami menyasar untuk meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan pergerakan silang (weaving)  dan memperbaiki aliran trafik di kawasan persimpangan kritikal,” katanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaannya ia akan dipantau secara berterusan dan dinilai dari segi prestasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522917