JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Minta Maklumat Kenderaan Awam Guna Siren, Lampu Biru Elak Kesesakan Di MEX

05/02/2026 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung satu video tular yang memaparkan tindakan sebuah kenderaan awam menggunakan siren dan lampu biru berkelip untuk memotong barisan ketika kesesakan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata penelitian terhadap rakaman video berdurasi satu minit itu dan semakan pada ruangan komen di media sosial berkenaan juga gagal mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.

“Perbuatan yang dipaparkan dipercayai melibatkan kesalahan di bawah Kaedah 138(1) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, iaitu larangan pemasangan lampu amaran berkelip pada kenderaan selain daripada kenderaan kecemasan yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dituduh di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda RM2,000 atau enam bulan penjara.

Mohd Zamzuri berkata siasatan juga boleh dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520308