KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Koperasi yang gagal menunjukkan prestasi bayaran balik pembiayaan yang memuaskan, tidak layak untuk dipertimbangkan bagi pembiayaan baharu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata ini bagi memastikan dana awam diuruskan secara berintegriti dan memberikan manfaat optimum kepada semua anggota koperasi.
"Sebarang tunggakan pembiayaan juga akan dituntut dan diambil tindakan perundangan sewajarnya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) sama ada kementerian bersedia menghentikan pembiayaan bagi koperasi yang gagal menunjukkan prestasi baik walaupun berulang kali menerima bantuan.
Mohamad berkata pada tahun lepas, sebanyak 66 koperasi diluluskan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) berjumlah RM75.32 juta.
Beliau berkata 78 koperasi turut menerima manfaat daripada geran bantuan pembangunan perniagaan berjumlah RM8.59 juta bagi menyokong keperluan modal pusingan serta pembelian aset perniagaan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) mengenai faktor kegagalan koperasi, Mohamad berkata ia sering berpunca daripada ketiadaan matlamat bersama dalam kalangan ahli dan amalan melantik Ahli Lembaga Koperasi yang kurang profesional.
Beliau berkata faktor itu menyebabkan banyak perniagaan koperasi tidak berdaya maju dan kekal bersifat konvensional kerana pengurusannya yang kurang kreatif dalam mencari peluang baharu.
Mohamad berkata terdapat juga sesetengah koperasi yang didapati terlalu bergantung kepada bantuan kewangan serta insentif kerajaan semata-mata tanpa usaha serius untuk mengembangkan perniagaan.
-- BERNAMA