SUNGAI BULOH, 11 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 25 lokasi hotspot dan 46 lokasi blackspot di sepanjang lebuh raya utama negara untuk diberi tumpuan khusus sepanjang tempoh Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pemantauan berterusan di lokasi tersebut bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik serta bagi memudahkan bantuan segera diberikan jika berlaku kecemasan.
Beliau berkata Op Selamat 25 yang dilaksanakan enam hari bermula 15 hingga 20 Feb ini turut melibatkan pemantauan di 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot di jalan-jalan Persekutuan, negeri dan bandaran di seluruh negara.
"Fokus kita adalah di kawasan yang kerap berlaku kesesakan dan kemalangan. Keberadaan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) atau omnipresence akan ditingkatkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
“Begitu juga dengan agensi penyelamat bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), St. John Ambulans yang menganggotai kumpulan Emergency Response Team (ERT) berada di lokasi strategik di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 di sini hari ini.
Lokasi hotspot adalah kawasan yang kerap berlaku kesesakan lalu lintas manakala blackspot adalah lokasi yang sering berlaku kemalangan.
Mohd Yusri berkata Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM juga akan membantu melakukan pemantauan udara di lebuh raya dan jalan utama yang dijangka mengalami pertambahan kenderaan mendadak.
Beliau turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan menggunakan Travel Time Advisory (TTA) yang disediakan pihak Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta memaklumkan pihak polis mengenai pergerakan balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
-- BERNAMA