KULAI, 11 Feb (Bernama) -- Polis Johor menumpaskan kegiatan sindiket pembotolan dan penyimpanan arak tiruan tidak bercukai kastam menerusi dua serbuan berasingan di Taman Mewah, Kulai dan Taman Senai Utama, Senai pada 3 Feb lepas dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.7 juta.
Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata serbuan antara 2 petang hingga 3.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam hasil risikan.
Beliau berkata serbuan pertama di sebuah premis di Taman Mewah yang dipercayai dijadikan lokasi pembotolan arak tiruan membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur antara 20 hingga 30 tahun.
Dalam serbuan itu, Ab Rahaman berkata polis merampas tiga tong hitam berisi 200 liter pati alkohol serta beberapa tong lain yang diubah suai berisi cecair disyaki arak tiruan tidak bercukai kastam yang telah dibancuh.
Turut dirampas, katanya, sebuah tong hitam berkapasiti 1,000 liter mengandungi kira-kira 500 liter cecair disyaki arak tiruan, bahan pewarna dan perisa karamel, alat pengukur alkohol, mesin pam air dan mesin penutup botol.
Beliau berkata selain itu, polis merampas 203 kotak arak pelbagai jenama, 50 kotak berisi botol kosong, 1,100 penutup botol serta pelekat kastam disyaki palsu dan pelekat arak jenama tertentu.
Susulan risikan lanjut, serbuan kedua dijalankan di Taman Senai Utama yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan arak tiruan tidak bercukai kastam dan membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 26 tahun.
Dalam serbuan itu, polis merampas 414 kotak arak pelbagai jenama serta sebuah van jenis Toyota Hiace bersama anak kunci dan alat kawalan jauh.
Ab Rahaman berkata polis Johor juga telah mengenal pasti lokasi pemprosesan arak bagi sindiket itu yang dipercayai berada di Johor dan risikan sedang dijalankan.
Beliau berkata rampasan arak tiruan itu dipercayai dijual antara RM50 hingga RM60 sebotol di pasaran tempatan dengan tumpuan diberikan kepada pelanggan warga asing.
Ab Rahaman berkata anggaran nilai rampasan melibatkan peralatan pembotolan berjumlah RM8,100, arak tiruan RM923,500, cukai tidak dibayar RM665,045 dan kenderaan RM80,000, manakala kesemua suspek direman sembilan hari bermula dari 4 hingga 12 Feb bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, berhubung kejadian kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Daya Jaya, Skudai semalam yang mengorbankan dua individu, Ab Rahaman berkata setakat ini, lima saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan termasuk pemilik rumah, suami kepada mangsa wanita dan jiran.
"Berdasarkan hasil siasatan awal, tiada elemen jenayah dikenal pasti setakat ini … hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian akibat daripada kesan terbakar, melecur lebih kurang 45 peratus," katanya dan menambah lelaki yang maut ialah rakan sekerja kepada suami mangsa wanita terbabit.
-- BERNAMA