PENAMPANG, 11 Feb (Bernama) -- Projek Solar Terapung di Empangan Babagon membawa makna besar kepada Sabah kerana ia mencerminkan kesungguhan dan keupayaan negeri itu dalam melaksanakan inisiatif tenaga boleh baharu yang moden serta berimpak tinggi.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata projek solar fotovoltaik terapung itu, yang pertama di Sabah, sekali gus Malaysia bagi konsep floating solar on portable water, iaitu pemasangan solar terapung atas takungan air yang turut berfungsi sebagai sumber bekalan air kepada penduduk setempat.
“Dalam konteks ini, saya ingin menegaskan Empangan Babagon adalah aset penting kepada komuniti dan negeri, khususnya sebagai sumber air. Oleh itu, saya menyambut baik pendekatan pelaksanaan projek ini yang memberikan penekanan kepada aspek keselamatan, pematuhan teknikal serta tadbir urus baik.
“Inovasi mesti bergerak seiring dengan tanggungjawab. Kejayaan projek tidak hanya diukur pada pembinaan dan pelancaran, tetapi lebih utama pada operasi jangka panjang yang selamat dan mematuhi standard ditetapkan,” katanya ketika berucap melancarkan projek itu di Empangan Babagon, hari ini.
Pada majlis itu, Masidi turut sama melancarkan Projek Solar PV 15MWac di Batu Sapi, Sandakan.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya menekankan pembangunan seimbang dalam memperkasakan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.
Justeru, beliau berkata kedua-dua projek itu diharap memberikan manfaat berterusan kepada Sabah dari segi kemajuan teknologi, pertumbuhan ekonomi hijau serta kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata pelaksanaan projek-projek tenaga boleh baharu itu selaras dengan aspirasi itu kerana ia menyumbang kepada pengukuhan kapasiti tenaga bersih, pemerkasaan industri hijau, pembukaan peluang pekerjaan serta pembangunan vendor tempatan, selain pengurangan hasil karbon dioksida secara berperingkat dalam sektor tenaga dan industri.
Masidi turut menghargai kerjasama strategik antara Jetama, Suruhanjaya Tenaga Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Sabah Development Berhad yang wajar dicontohi kerana ia bukan sahaja mempercepat pelaksanaan projek, malah membantu membina keupayaan teknikal tempatan, memperluas rantaian nilai dan memberikan manfaat ekonomi lebih meluas kepada rakyat Sabah.
“Saya berharap kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak lagi inisiatif tenaga boleh baharu di Sabah dengan penekanan kepada tatakelola teratur, pematuhan kepada prosedur operasi standard sedia ada serta pelaksanaan efisien,” katanya.
-- BERNAMA