AM

63 Kes Chikungunya Dicatatkan Di Taman Mahsuri, Jitra

11/02/2026 03:35 PM

ALOR SETAR, 11 Feb (Bernama) -- Sebanyak 63 kes chikungunya direkodkan di Taman Mahsuri Fasa 2C dekat Jitra dari 3 Jan sehingga semalam, bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah Mansor Zakaria berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kubang Pasu telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk gotong-royong. 

“Gotong-royong melibatkan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), beberapa agensi lain dan komuniti setempat.

“Inisiatif ini sebagai langkah awal bagi mengelakkan kes bertambah di taman itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai mengambil berat kebersihan kawasan persekitaran tempat tinggal, terutamanya membuang sampah di tempat disediakan bagi mengelak pembiakan nyamuk.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan terdekat. Jangan biar gejala semakin parah kerana dibimbangi boleh menyebabkan kejadian lebih serius,” katanya.

PKD Kubang Pasu dalam hantaran di Facebook memaklumkan mengadakan operasi kawalan wabak tidak terkawal chikungunya dari 7 hingga 15 Feb berikutan peningkatan kes di taman itu kerana risiko penularan lebih tinggi dalam komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522743