JENAYAH & MAHKAMAH

Seleweng Dana Pusat Dakwah: SPRM Rakam Percakapan Pendakwah Bebas, Ketua Jabatan

09/02/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam percakapan seorang pendakwah bebas dan seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pendidikan serta pusat dakwah di Kedah, bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana.

Menurut sumber kedua-dua individu berkenaan hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 1.30 petang bagi melengkapkan proses siasatan yang sedang dijalankan terhadap pusat dakwah berkenaan.

"Fokus utama ketika ini adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan melengkapkan kertas siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan tersebut," katanya kepada Bernama.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan rakaman percakapan berkenaan.

Beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Terdahulu, kedua-dua suspek dilaporkan telah dibebaskan daripada tahanan reman pada 5 petang semalam, selepas ditahan buat kali kedua pada Jumaat lepas bagi tujuan siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522046