AM

AUKU Perlu Terus Dinamik, Berkembang Selari Perubahan Semasa - Zambry

11/02/2026 11:47 AM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu terus bersifat dinamik serta berkembang selari dengan perubahan semasa, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sememangnya terbuka untuk menerima sebarang pandangan terhadap akta berkenaan dan perbincangan dilaksana dengan pihak berkepentingan termasuk mahasiswa bagi tujuan penambahbaikan.

“Mungkin ada beberapa kelemahan yang perlu kita lihat tetapi dalam masa yang sama, kita jangan lupa bahawa AUKU itu merupakan akta tunggal yang berkaitan dengan penubuhan sesebuah Institusi Pengajian Tinggi,” katanya selepas merasmikan Sidang Akademia Penyelidikan Universiti Teknikal Malaysia Bersama Industri 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor MTUN Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Sementara itu, Zambry sekali lagi menegaskan AUKU akta penting yang menjadi teras dan punca kuasa kepada penubuhan sesebuah universiti awam.

“Kalau tidak ada AUKU, bermakna untuk menubuhkan sesebuah universiti awam itu, mana punca kuasanya? Jadi tidak ada punca kuasa. 

“Saya pun lontarkan kepada universiti-universiti semua dan kami mengadakan perbincangan dalam kalangan kami sebagai contoh, apakah kekurangan-kekurangan yang ada pada AUKU.

“AUKU itu mungkin ditubuhkan pada 1971 kemudian berubah lagi 1974, siri-siri perubahan (telah) dibuat. Jadi, kita kena lihat sepanjang masa ia (AUKU) mesti bersifat dinamik, tidak boleh kekal sebagai sesuatu yang statik,” katanya.

Semalam, Zambry berkata KPT menghormati pandangan mahasiswa seluruh negara yang menggesa AUKU dimansuhkan atau dikaji semula.

Beliau berkata AUKU merupakan akta yang perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa dan KPT sentiasa terbuka terhadap pandangan daripada pelbagai pihak. 

AUKU menjadi asas kepada penubuhan sesebuah universiti dan undang-undang yang mengawal pentadbiran universiti dan kolej di negara ini.

Akta berkenaan memberikan kerajaan dan pihak berkuasa universiti kuasa untuk mengurus dan mengawal selia pelbagai aspek pentadbiran, termasuk pengurusan kewangan, pelantikan staf dan pengurusan pelajar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522620