Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Hasrat menjenamakan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kepada Universiti P. Ramlee (UPR) dilihat sebagai usaha mengangkat legasi seniman agung negara, namun langkah itu memerlukan pertimbangan menyeluruh terhadap identiti, hala tuju serta daya saing institusi berkenaan.
Walaupun cadangan itu disambut baik pencinta seni sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, pakar akademik berpandangan penjenamaan sesebuah institusi pendidikan tidak boleh bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira reputasi, keperluan industri kreatif dan kebolehpasaran graduan.
Mereka yang ditemu ramah Bernama menegaskan perubahan nama sesebuah institusi menyentuh kedudukan ASWARA sebagai pusat pembinaan bakat, ruang penghasilan karya serta platform keilmuan yang telah membentuk identiti tersendiri sejak sekian lama.
pic-2
Dalam konteks itu, Prof Madya Dr Jamaluddin Aziz berpandangan tidak ada keperluan untuk menjenamakan ASWARA sebagai UPR bagi mengangkat legasi seniman agung tersebut, sebaliknya usaha itu lebih wajar diterjemahkan melalui penubuhan fakulti, jabatan atau kursi khas.
“Sebagai contoh, Adam Smith Business School ialah fakulti perniagaan di bawah University of Glasgow, United Kingdom yang dinamakan bersempena dengan tokoh ekonomi terkenal dan pernah menjadi profesor di universiti berkenaan,” katanya.
Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata selain menawarkan Kursi P. Ramlee, ASWARA juga boleh mempertimbangkan penjenamaan fakulti atau jabatan tertentu dengan nama seniman berkenaan tanpa perlu menukar keseluruhan nama institusi.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap institusi mempunyai visi dan misi tersendiri yang menjadi asas kepada sebarang keputusan penjenamaan, manakala ASWARA pula telah lama dikenali sebagai institusi seni yang merangkumi pelbagai disiplin.
“Jika visinya untuk mengantarabangsakan institusi, perlu ditanya sama ada nama Allahyarham P. Ramlee cukup dikenali di peringkat global. Bagi pelajar dari Timur Tengah atau China, misalnya, nama itu mungkin agak asing,” katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan hasrat Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang untuk menamakan ASWARA sebagai Universiti P. Ramlee, dengan cadangan tersebut dijangka dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat menerusi kepimpinan kelab peringkat kebangsaan yang diketuai presidennya, Tan Sri Dr Yusoff Latif.
Pengerusi kelab itu, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dilaporkan berkata sudah tiba masanya nama seniman agung berkenaan dipertimbangkan sebagai sebahagian pengiktirafan terhadap sumbangan seni kepada negara, sekali gus memastikan legasi P. Ramlee terus dikenang oleh generasi akan datang.
pic-3
Sementara itu, pakar seni layar dan pendidikan kreatif Dr Mohd Erman Maharam berpandangan penggunaan nama tokoh bukan faktor penentu daya saing sesebuah institusi di peringkat antarabangsa.
Sebaliknya, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Perdana itu berkata reputasi akademik, impak kesarjanaan serta kualiti dan kebolehpasaran graduan menjadi ukuran utama.
Menurut beliau, penjenamaan kepada UPR wajar dinilai berdasarkan signifikan tokoh tersebut terhadap pembentukan falsafah dan hala tuju institusi.
“Walaupun P. Ramlee sering dikaitkan dengan filem berbahasa Melayu, karya beliau melangkaui zamannya dengan wacana kritikal yang menyentuh isu darjat, sosioekonomi, hubungan antara kaum serta dinamika politik dan serantau,” katanya.
Beliau berkata sesebuah institusi boleh menjadikan falsafah progresif Allahyarham P. Ramlee sebagai asas kepada hala tuju yang lebih inklusif dan berpaksikan wacana budaya yang luas.
Hakikatnya, kewajaran penjenamaan ASWARA bukan terletak pada nama semata-mata, sebaliknya sejauh mana roh dan pemikiran P. Ramlee mampu memperkukuh peranan institusi itu dalam melahirkan generasi pengkarya masa depan
-- BERNAMA