AM

Hiasan Tanglung Simbol Perpaduan Masyarakat Felda Hutan Percha

11/02/2026 10:40 AM

Oleh Mohd Fakri Awang Lah

ALOR GAJAH, 11 Feb (Bernama) -- Hiasan tanglung sememangnya sinonim dengan masyarakat Tionghua terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina, namun bagi masyarakat Felda Hutan Percha, ia menjadi simbol perpaduan utuh pelbagai kaum di penempatan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Kampung Hutan Percha Nizam Baharom berkata idea menghias kampung itu dengan tanglung muncul sejak tiga tahun lepas, selepas penduduk melihat hiasan sama di Machap Umboo dan Machap Jaya, yang terkenal dengan hiasan tanglung ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

"Siapa sangka ia kemudian menjadi tradisi bagi penduduk berbilang bangsa di penempatan ini untuk bergotong-royong menghias Taman Rekreasi Masyarakat Cina Felda Hutan Percha ini dengan tanglung dan hiasan-hiasan lain.

"Penduduk pelbagai bangsa akan keluar terutama pada waktu malam untuk membantu masyarakat Tionghua menghias taman, dengan kaum ibu turut menyediakan juadah kepada sukarelawan," katanya kepada Bernama.

Nizam berkata Felda Hutan Percha mempunyai kira-kira 800 penduduk, membabitkan 260 rumah masyarakat Melayu, Cina (65 rumah), India (enam rumah) dan Orang Asli (31 rumah).

Walaupun Taman Rekreasi Masyarakat Cina Felda Hutan Percha itu terletak kira-kira 20 meter dari masjid, namun keharmonian dan persefahaman penduduk jelas terpancar apabila sebarang program di taman itu dihentikan sementara ketika masuk waktu maghrib dan isyak.   

Sementara itu, pengarah projek menghias taman rekreasi  berkenaan, Ng Lai Cheng, 45, berkata pihaknya menerima sumbangan kira-kira RM10,000 pada tahun ini daripada pelbagai pihak untuk menghias taman rekreasi berkenaan.

Beliau berkata penduduk mula bergotong-royong menghias taman rekreasi itu dengan tanglung dan hiasan lain seperti bunga dan lampu kelip-kelip sejak November tahun lepas dan setakat ini 80 peratus projek berkenaan telah siap.

"Sumbangan kali ini diterima daripada masyarakat berbilang bangsa yang tinggal di penempatan ini selain daripada pengurusan Felda serta JPKK.

"Acara kemuncak, iaitu menyalakan tanglung akan diadakan pada Sabtu (14 Feb) ini dan akan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya merangkap Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522581