SEPANG, 10 Feb (Bernama) -- Malaysia hari ini mencatat satu lagi kejayaan dalam usaha menjadi hab pendidikan global dengan pelancaran Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penubuhan ISAC menggambarkan komitmen negara untuk memastikan pelajar antarabangsa merasa dialu-alukan, dihargai, dan selamat sebaik tiba di Malaysia.
Katanya ISAC menampilkan keunggulan Malaysia melalui gabungan perkhidmatan efisien, panduan jelas, kepekaan budaya, dan kemesraan insan di bawah satu bumbung.
“Sebaik tiba di negara kita, kami mahu pelajar merasakan sesuatu yang jelas: mereka dialu-alukan, dihargai, dan berada dalam keadaan selamat. Malaysia memang tempat yang sangat selamat,” katanya ketika merasmikan pusat itu hari ini.
Zambry berkata Malaysia kini menempatkan lebih 150,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara, menjadikan negara peneraju serantau dalam pendidikan antarabangsa.
“Pelajar memilih Malaysia bukan secara kebetulan, tetapi kerana keyakinan. Kepercayaan yang diperoleh mesti dihormati, dan kepercayaan yang diberi mesti dilindungi. Pusat ketibaan ini adalah sebahagian daripada cara kita menghormati kepercayaan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata ISAC adalah pusat pertama seumpamanya di dunia yang dibangunkan khusus untuk menyambut pelajar antarabangsa sebaik tiba di lapangan terbang.
“Ini istimewa kerana ia pertama di dunia, sebuah pusat untuk menyambut pelajar antarabangsa dengan tangan terbuka di lapangan terbang,” katanya.
Beliau berkata ISAC memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman ketibaan yang lancar dan positif, terutamanya pada waktu puncak musim kemasukan pelajar.
Ahmad Shalimin turut memaklumkan lebih 80 peratus pelajar antarabangsa baharu telah menggunakan perkhidmatan ISAC sejak penubuhannya, termasuk lebih 10,000 pelajar yang direkodkan pada bulan kemasukan puncak September tahun lepas.
“Lebih daripada sekadar proses dan fasiliti, ISAC mencerminkan semangat hospitaliti Malaysia. Ia memastikan pelajar merasa dialu-alukan, disokong, dan seperti di rumah sendiri sejak menjejakkan kaki ke Malaysia,” katanya.
ISAC diwujudkan hasil kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, EMGS, Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd, dan institusi pengajian tinggi.
Perkhidmatan ISAC juga disediakan di KLIA Terminal 2, sebagai sebahagian usaha berterusan meningkatkan pengalaman pelajar antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pendidikan pilihan global.
Antara yang menyambut baik inisiatif ini ialah Cassandra Marquez, pelajar dari Mozambique, yang menyifatkan ISAC sebagai penanda aras global dalam hospitaliti pelajar.
Marquez, yang telah tiga tahun menuntut di Malaysia, berkata panduan yang diberikan pegawai EMGS membantu memastikan proses ketibaan berjalan lancar.
“Lebih penting, ia menyambut pelajar bukan sahaja untuk pendidikan, tetapi juga menunjukkan hospitaliti negara dalam menyambut mereka sebelum melalui pintu imigresen,” kata pelajar International Business, Universiti Kuala Lumpur.
-- BERNAMA