KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu lagi aktiviti sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) dalam operasi di sekitar kawasan Bukit Chagar di Johor Bahru, Johor.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu dilaksanakan susulan maklumat yang diterima serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian oleh suruhanjaya berkenaan yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.
“Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi pada hari ini, pasukan penguatkuasa telah mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, maklumat yang diperoleh turut menunjukkan individu yang terlibat direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu taktik yang digunakan oleh sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka.
Penemuan itu mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.
MCMC berkata kes itu diambil tindakan di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau keduaduanya sekali,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.
Usaha pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna sekali gus memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara, kata suruhanjaya itu.
-- BERNAMA