JENAYAH & MAHKAMAH

Juruteknik Maut Kereta Dirempuh Pacuan Empat Roda Hilang Kawalan

10/02/2026 05:36 PM

DUNGUN, 10 Feb (Bernama) -- Seorang juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Kampung-Bandar Al Muktafi Billah Shah berhampiran Bandar Ketengah Jaya, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata kemalangan pada 7 pagi itu berlaku selepas Toyota Hilux berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa serta sebuah lagi kereta jenis Proton Persona.

Beliau berkata mangsa Mohd Junaidi Mamat, 43, dari Felda Kerteh Satu di sini meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar Ketengah Jaya manakala pemandu dan penumpang pacuan empat roda itu cedera ringan.

"Mangsa dalam perjalanan dari kediamannya di Felda Kerteh Satu ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian Kerteh dan akibat kemalangan itu, kereta dipandu Mohd Junaidi turut terbakar.

"Namun mangsa sempat ditarik keluar oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum api marak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Maizura berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522361