KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Seorang wanita gelandangan yang tidak dikenal pasti identiti ditemukan maut dipercayai dibunuh di hadapan sebuah sekolah menengah di Jalan Sentul di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada 7.20 pagi.
Beliau berkata mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an hingga 60-an ditemukan terbaring dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan kematian disahkan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter pada bahagian kepala sebelah kanan atas telinga serta bengkak pada kelopak mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang penganggur lelaki warga tempatan berusia 46 tahun di sekitar Sentul malam tadi bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan kayu untuk memukul kepala mangsa,” katanya.
Beliau berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA