SUKAN

Harry Fokus Lonjak Prestasi Perseorangan Lelaki

10/02/2026 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jurulatih baharu perseorangan lelaki negara Harry Hartono mengakui mengakui tidak berasa tertekan menggalas tanggungjawab mengangkat martabat serta meningkatkan kualiti pemain badminton negara.

Harry, yang berpengalaman membimbing pemain nombor empat dunia dari Indonesia Jonathan Christie, selain pemain muda berbakat Alwi Farhan (ranking ke-14), berkata beliau bersedia membawa pemain negara seperti Leong Jun Hao (ranking ke-26) dan Justin Hoh (ranking ke-39) ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata tugas itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab profesional dan beliau kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk memantapkan prestasi pemain di bawah bimbingannya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Saya tidak merasakan sebarang tekanan kerana ini adalah tugas profesional. Fokus saya ketika ini adalah untuk meningkatkan kualiti pemain sedia ada.

“Sudah tentu ia juga satu cabaran untuk melatih pemain agar mampu menyerlah di peringkat dunia serta muncul sebagai pemain nombor satu atau juara dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pertamanya di sini, hari ini.

Harry berkata meskipun pemain negara sememangnya memiliki kualiti tersendiri, beliau berharap sentuhannya mampu membantu anak buahnya mengekalkan konsistensi, khususnya dalam mencabar pemain elit dunia.

Mengenai sesi latihan sulungnya sebaik melapor diri secara rasmi hari ini, beliau melahirkan rasa gembira melihat semangat serta komitmen tinggi yang dipamerkan pemain negara sepanjang menjalani latihan di gelanggang.

Dalam perkembangan sama, Harry menjelaskan keputusannya menyertai BAM adalah bagi menyahut cabaran baharu selian mengembangkan kerjaya kejurulatihannya di negara ini, meskipun sebelum ini beliau kembali bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) sebagai pembantu jurulatih perseorangan lelaki bagi menggantikan Marleve Mainaky pada September lepas.

Katanya Malaysia merupakan negara kedua beliau berkhidmat di luar Indonesia selepas berkelana ke Taiwan dari 2005 hingga 2010, sekali gus berjaya mengesan bakat pemain utama negara itu Chou Tien Chen yang kini menghuni ranking keenam dunia.

Harry menandatangani kontrak bersama BAM sehingga tahun 2028.

Selain Harry, BAM turut melantik Yeoh Kay Bin sebagai jurulatih perseorangan lelaki remaja dan kedua-duanya akan bekerjasama membimbing skuad perseorangan lelaki negara di bawah kendalian ketua jurulatih Datuk Tey Seu Bock, dibantu K. Yogendran, Alvin Chew dan Goh Giap Chin.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522353