SUKAN

Masters Thailand: Zii Jia Cedera, Perseorangan Wanita Negara Rebut Tempat Ke Final

30/01/2026 08:57 PM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 30 Jan (Bernama) -- Hasrat untuk melihat perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia kembali menyinar tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri pada set ketiga kejohanan badminton Masters Thailand 2026 di sini hari ini.

Pada aksi suku akhir menentang Alwi Farhan dari Indonesia di Stadium Nimibutr, pemain kelahiran Kedah itu telah mempamerkan aksi memberangsangkan untuk menguasai set pertama 21-10, namun tidak berjaya mengekalkan momentum menyaksikan beliau tewas set kedua 15-21 sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan.

Bagaimanapun, Zii Jia terpaksa menarik diri dipercayai kerana mengalami kecederaan di bahagian kaki serta mendatangkan risiko jika meneruskan perlawanan.

Kem wanita pula menghadiahkan berita gembira buat Malaysia apabila telah mengesahkan tempat di final, selepas pemain perseorangan wanita menempah pertemuan sesama sendiri di peringkat separuh akhir esok, menyaksikan Wong Ling Ching akan berdepan Goh Jin Wei.

Wong yang menghuni ranking ke-40 dunia menunjukkan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Isharani Baruah dari India 18-21, 21-16, 21-13 dalam aksi yang berlangsung lebih satu jam.

Jin Wei yang berada di ranking ke-68 pula, mengetepikan cabaran seorang lagi wakil negara K Letshanaa 12-21, 21-17, 21-19 untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Ling Ching mengakui banyak melakukan kesilapan mudah, namun gembira dapat melangkah ke separuh akhir.

“Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini. Ia sangat memuaskan kerana kami berdua telah berikan yang terbaik. Saya tidak menetapkan sebarang sasaran khusus untuk kejohanan ini, dan hanya berharap dapat capai keputusan lebih baik,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan hari ini.

Mengenai pertemuan dengan Jin Wei, beliau berkata ini merupakan pertemuan kali pertama mereka dan menjangkakan pertembungan yang agak sukar kerana bekas juara dunia remaja itu mempunyai pengalaman luas.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518755