AM

TH Sedia 564 Petugas Sempena Musim Haji Tahun Ini - Zulkifli

10/02/2026 10:41 PM

ALOR GAJAH, 10 Feb (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan 564 petugas bagi musim haji 1447H/2026M, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ha Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata 339 daripadanya melibatkan Petugas Rombongan Kebajikan dalam kalangan warga kerja TH, anak syarikat TH dan agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) serta pesara TH.

"Sebanyak 225 lagi terdiri daripada Petugas Rombongan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) merangkumi doktor pakar, doktor, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat.

"Penerbangan pertama petugas haji ini ialah pada 9 April dan akan secara berperingkat," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci 1447H/2026M di sini malam ini.

Hadir sama Timbalannya Senator Marhamah Rosli, Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad.

Program pengukuhan selama empat hari bermula hari ini bertujuan memastikan semua petugas haji berada pada tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada jemaah di Tanah Suci.

Program itu memberi penekanan kepada aspek kemahiran pengurusan, pematuhan sistem kualiti serta pengukuhan nilai integriti dan ihsan dalam kalangan petugas haji selaku barisan hadapan perkhidmatan haji negara.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melibatkan AMAL by Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522516