Oleh Wilawan Watcharasakwet & Kenny Teng
BANGKOK, 9 Feb (Bernama) -- Rundingan bagi membentuk kerajaan baharu Thailand dijangka bermula tidak lama lagi susulan pilihan raya umum pada Ahad, memandangkan tiada mana-mana parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah dalam kerusi parlimen yang dipertandingkan.
Keputusan awal menunjukkan Parti Bhumjaithai pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mendahului dengan 174 daripada 400 kerusi kawasan parlimen, berdasarkan 94 peratus undi yang telah dikira.
Ia diikuti oleh Parti Rakyat yang berhaluan progresif dengan 87 kerusi, Parti Pheu Thai (58), Parti Klatham (56), dan Parti Demokrat (10).
Dengan Bhumjaithai muncul sebagai peneraju utama namun masih kekurangan majoriti, tumpuan kini beralih kepada langkah seterusnya oleh Anutin dalam membentuk kerajaan gabungan.
Anutin berkata belum ada mana-mana parti politik yang menghubunginya selepas pengumuman keputusan tidak rasmi pilihan raya itu.
“Semua pilihan masih dalam pertimbangan, sebarang keputusan perlu diperhalusi terlebih dahulu oleh jawatankuasa eksekutif parti,” katanya selepas menghadiri istiadat penghormatan di Rumah Kerajaan pada Isnin.
Apabila ditanya sama ada Parti Bhumjaithai akan menjemput Parti Pheu Thai untuk menyertai kerajaan, Anutin menyatakan terdapat prosedur tetap yang perlu dipatuhi.
Sementara itu, pemimpin Parti Pheu Thai Julapun Amornvivat berkata setakat ini belum ada perbincangan dengan Bhumjaithai mengenai pembentukan kerajaan, sambil menegaskan tanggungjawab untuk memulakan rundingan gabungan terletak pada parti yang memenangi pilihan raya.
“Pheu Thai tidak akan memulakan langkah itu dan sebaliknya akan menunggu perkembangan situasi. Parti kami tidak meletakkan sebarang had dalam soal kerjasama,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Julapun berkata sebarang kerjasama pada masa hadapan bergantung kepada keserasian dari segi idea, ideologi dan dasar.
Terdahulu, Julapun menghadiri mesyuarat tidak rasmi di ibu pejabat parti bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pheu Thai bagi membincangkan situasi politik semasa.
Dewan Perwakilan Thailand yang mempunyai 500 kerusi dipilih melalui sistem campuran. Daripada jumlah itu, 400 kerusi kawasan ditentukan melalui sistem pemenang undi terbanyak, manakala baki 100 kerusi diperuntukkan berdasarkan perwakilan berkadar atau senarai parti mengikut bahagian undi nasional yang diperoleh setiap parti.
Keputusan pilihan raya itu mesti disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (ECT) dalam tempoh 60 hari, atau selewat-lewatnya pada 9 April, manakala parlimen yang baharu dipilih dikehendaki bersidang dalam tempoh 15 hari selepas keputusan disahkan secara rasmi.
-- BERNAMA