Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 9 Feb (Bernama) -- Lebih 4.11 juta penumpang dijangka melalui enam lapangan terbang utama Thailand sepanjang cuti Tahun Baharu Cina dari 13 hingga 22 Feb, menurut Airports of Thailand (AOT).
Presiden AOT Paweena Jariyathitipong berkata lonjakan itu mencerminkan peningkatan trafik udara semasa musim perayaan, didorong oleh pertumbuhan stabil jumlah penumpang dan kekerapan penerbangan bagi laluan China.
Beliau berkata trend itu selari dengan pemulihan berterusan industri penerbangan dan pelancongan.
"AOT menjangkakan lebih 4.11 juta penumpang akan menggunakan enam lapangan terbang kendaliannya sepanjang cuti Tahun Baharu Cina, merangkumi kira-kira 2.6 juta penumpang antarabangsa dan 1.51 juta pengembara domestik.
"Jumlah pergerakan pesawat dianggarkan sebanyak 24,847 penerbangan, terdiri daripada kira-kira 14,295 penerbangan antarabangsa dan 10,552 penerbangan domestik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagi menampung lonjakan permintaan perjalanan itu, Paweena berkata AOT telah memastikan kesediaan operasi di kesemua enam lapangan terbang dengan tumpuan kepada kemudahan penumpang, keselamatan, serta penyampaian pengalaman perjalanan positif di bawah pendekatan "Hospitaliti Bertaraf Dunia".
Beliau berkata penterjemah telah ditugaskan untuk membantu penumpang asing, khususnya pelancong China, manakala teknologi dan inovasi diperkenalkan bagi mengurangkan waktu menunggu, menambah baik aliran penumpang dan meningkatkan kecekapan perjalanan secara keseluruhan.
“Perkhidmatan akan menekankan kemesraan, kepekaan dan keramahan, mencerminkan layanan masyarakat Thai menerusi khidmat yang sopan dan bertimbang rasa di setiap peringkat perjalanan,” katanya.
Paweena berkata kesemua enam lapangan terbang AOT juga telah mempertingkatkan langkah saringan dan pemantauan bagi mencegah penularan virus Nipah.
"AOT bekerjasama rapat dengan pusat pemeriksaan kawalan penyakit berjangkit antarabangsa untuk memantau situasi dan telah melaksanakan langkah saringan bagi penumpang yang tiba dari negara atau kawasan berisiko tinggi," katanya.
Memandangkan jumlah penumpang dijangka memuncak pada musim perayaan, beliau menasihatkan pengembara untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam lebih awal bagi mengelakkan terlepas penerbangan.
-- BERNAMA