JENAYAH & MAHKAMAH

Pengambilan Anggota AKPS Libatkan Veteran ATM Bersara Awal, Masih Bertenaga

09/02/2026 08:53 PM

PELABUHAN KLANG, 9 Feb (Bernama) -- Pengambilan anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan diberi keutamaan kepada mereka yang bersara awal dan masih bertenaga.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pengambilan pesara yang masih produktif dan mempunyai kepakaran tertentu itu juga antara langkah memperkukuh keupayaan operasi agensi berkenaan di lapangan.

“Saya berjumpa Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman pagi tadi dan beliau telah menzahirkan komitmen bantuan yang tidak berbelah bagi kepada AKPS. 

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa pengambilan (melibatkan) pegawai askar yang bersara dalam short service, yang masih lagi bertenaga dan muda untuk melaksanakan tugasan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pelabuhan Barat di sini sempena lawatan kerja Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ke pelabuhan berkenaan hari ini.  

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata penempatan anggota akan dibuat berdasarkan latar belakang perkhidmatan dan kepakaran khusus, termasuk kemungkinan melibatkan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tugasan berkaitan operasi maritim, aset kapal dan penguatkuasaan di perairan.

Perkara itu, jelas beliau masih memerlukan perbincangan lanjut termasuk dengan pihak veteran ATM.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 3 Feb lepas dilaporkan berkata kira-kira 200 veteran ATM dijangka menyertai AKPS bermula suku pertama tahun ini.

Saifuddin Nasution berkata ketika ini, sejumlah perjawatan veteran ATM bagi kemasukan ke AKPS diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan proses kemasukan akan dijalankan dalam masa terdekat.  

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522044