AM

AKPS Tubuh Sekretariat Pastikan Jawatankuasa Khas e-Waste Berfungsi Dengan Berkesan

06/02/2026 11:00 PM

SHAH ALAM, 6 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menubuhkan satu sekretariat melibatkan warga kerjanya bagi menggerakkan pelaksanaan dan penyelarasan Jawatankuasa Khas Penyelarasan sisa elektronik (e-waste) dengan efektif serta tersusun. 

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata jawatankuasa itu akan menjalankan kajian menyeluruh berkaitan isu e-waste, khususnya melibatkan aspek kemasukan, pengurusan dan penguatkuasaan pada peringkat negara. 

Nik Ezanee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas berkenaan berkata antara skop utama yang akan diteliti ialah ekosistem e-waste, perundangan dan prosedur sedia ada, aspek penguatkuasaan, pengenalpastian pihak berkepentingan, serta pelupusan. 

“Sehubungan dengan itu, pihak sekretariat akan mengemukakan permohonan maklum balas secara rasmi kepada agensi dan kementerian berkaitan. 

“Satu mesyuarat penyelarasan seterusnya akan dipanggil untuk melantik keanggotaan jawatankuasa serta menyelaras dan memperhalus maklum balas yang diterima ke arah penetapan hala tuju pengurusan dan penguatkuasaan e-waste yang lebih berkesan dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengumumkan pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya berkuat kuasa pada 4 Feb lepas dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521096