PEKAN, 7 Feb (Bernama) -- Persidangan Parlimen Belia Malaysia dijangka bermula pada September tahun ini, selepas proses pilihan raya Parlimen itu selesai dilaksanakan pada Julai.
Pengerusi Parlimen Belia Malaysia Datuk Dr Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata persidangan Parlimen itu akan diadakan enam kali bagi satu penggal, dengan setiap persidangan berlangsung selama tiga hari.
“Format persidangan hampir sama dengan Parlimen sebenar, namun ia diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad memandangkan kebanyakan ahli bekerja dan masih belajar,” katanya pada sidang media Majlis Jerayawara Parlimen Belia Malaysia Siri Ke-5 di Rejimen 505 di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pentadbir Parlimen berkata Pilihan Raya Parlimen Belia Malaysia dijangka menggunakan sistem undian secara dalam talian, dengan anggaran seramai 100,000 belia akan mendaftar sebagai pengundi atau ahli parti pada penghujung Jun.
“Setakat ini terdapat 12 parti dan jumlah itu berkemungkinan meningkat kepada 13 parti menjelang hujung bulan ini. Sebelum pilihan raya, setiap parti perlu mengadakan pemilihan dalaman termasuk pemilihan presiden dan barisan kepimpinan, yang dijangka berlangsung sekitar April atau Mei,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Husaini berkata proses pemilihan dalam pilihan raya tersebut berdasarkan sistem perwakilan berkadar menerusi senarai parti tertutup.
“Dalam sistem ini, pertandingan adalah antara parti dengan parti dan bukannya individu dengan individu. Setiap parti perlu mendaftar dalam sistem dan menyerahkan senarai calon mengikut bilangan kerusi Parlimen sedia ada iaitu 222 kerusi di seluruh negara, mengikut negeri,” katanya.
Beliau berkata pemilihan berdasarkan undian popular dan bukannya kemenangan kerusi secara langsung, tertakluk kepada ambang kelayakan sebanyak lima peratus.
Ahmad Husaini berkata mana-mana parti yang memperoleh kurang daripada lima peratus undi, parti tersebut tidak layak menerima sebarang kerusi.
Sementara itu, beliau berkata Parlimen Belia akan memberi tumpuan kepada usul-usul berkaitan belia sebelum dibahaskan dan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Matlamat utama Parlimen Belia adalah untuk memastikan isu belia diangkat dan diberi perhatian serius, memandangkan suara golongan itu penting untuk masa depan negara,” katanya.
-- BERNAMA