EKONOMI

Kecekapan Tadbir Urus Antara Pemacu Utama Dalam Realisasi Matlamat Ekonomi Malaysia

05/02/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kecekapan tadbir urus, disiplin kepimpinan dan kepercayaan merupakan teras keupayaan Malaysia untuk merealisasikan matlamat ekonomi, kata Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Beliau berkata Malaysia tidak kekurangan strategi atau kerangka dasar, namun ujian sebenar sama ada kepimpinan di peringkat kerajaan dan perniagaan mampu mengubah cita-cita menjadi hasil secara konsisten atau sebaliknya.

“Tadbir urus bukan lagi perkara teknikal bagi juruaudit dan pasukan pematuhan. Tadbir urus menjadi isu strategik yang membentuk keyakinan, aliran modal dan daya tahan jangka masa panjang,” katanya pada Persidangan Daya Saing dan Kemampanan Perniagaan Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Persidangan anjuran bersama Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI) dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) itu mengangkat tema Malaysia 2030: Transformasi Perniagaan Demi Daya Saing, Kemampanan dan Kemakmuran Bersama.

Tunku Naquiyuddin, yang menghadiri persidangan itu sebagai tetamu kehormat diraja, mengingatkan bahawa pasaran tidak lagi membezakan antara prestasi dan tadbir urus sebagai faktor berasingan, sebaliknya menilai kedua-duanya secara bersama.

“Lembaga pengarah diteliti dari segi cara mereka mengurus risiko, sejauh mana pendedahan maklumat itu telus, dan konsistensi tindakan mereka ketika menghadapi tekanan. Tadbir urus yang lemah tidak lagi dianggap sebagai kelemahan dalaman tetapi ditunjukkan menerusi penilaian, terma pembiayaan dan perkongsian jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata kepercayaan menjadi kelebihan daya saing kerana faktir itu boleh menurunkan kos modal, menarik rakan kongsi jangka masa panjang dan mengukuhkan daya tahan dalam persekitaran yang tidak menentu.

“Apabila tiada kepercayaan, asas yang kukuh juga boleh terjejas. Bagi Malaysia dan kalangan syarikat Malaysia, realiti ini tidak boleh diabaikan,” katanya.

Mengenai landskap global, Tunku Naquiyuddin berkata sistem ekonomi semakin teratur berasaskan perkongsian yang dipercayai berbanding pasaran terbuka.

“Dalam dunia baharu ini, aspek daya tahan rantaian bekalan, kedaulatan dan kebolehpercayaan adalah lebih penting daripada kepantasan atau kos yang lebih rendah,” katanya.

Tunku Naquiyuddin berkata rangka kerja Ekonomi MADANI penting dalam konteks itu memandangkan kerangka tersebut mengutamakan tadbir urus, kepercayaan dan tanggungjawab bagi aspirasi ekonomi Malaysia.

“Paling penting, perkara itu bukan isyarat nilai semata-mata, sebaliknya menetapkan sasaran jangka masa sederhana yang kukuh untuk Malaysia berada dalam kalangan 12 ekonomi teratas dunia dari segi daya saing,” katanya.

Beliau berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menjelaskan firma Malaysia dijangka meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dan bersaing berdasarkan kualiti berbanding kos, manakala Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara pula menetapkan keterjaminan tenaga dan perancangan peralihan sebagai tanggungjawab peringkat lembaga pengarah.

“Sama ada Malaysia berhasil merealisasikan aspirasi daya saing akan kurang bergantung kepada pembentukan dasar sebaliknya lebih kepada tindak balas kepimpinan.

“Dasar boleh menetapkan hala tuju namun tidak boleh menggantikan pertimbangan. Pihak yang bertindak dengan pasti akan membina kepercayaan dan daya tahan, manakala mereka yang berlengah akan mendapati implikasi berikutan tidak bertindak adalah lebih tinggi daripada implikasi perubahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520543