KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bangunan Parlimen kini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) moden dan canggih bagi memperkasa sistem keselamatan kompleks berkenaan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek pemasangan kamera baharu di Blok Utama, naik taraf Bilik Kawalan Utama, selain penambahan kamera di Dewan Serbaguna, kediaman rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Taska Parlimen telah siap dalam tempoh 12 bulan melibatkan kos RM5.2 juta.
“Matlamat utama projek ini adalah memperkasakan sistem keselamatan Bangunan Parlimen dengan teknologi terkini bertaraf dunia termasuk integrasi ciri pintar dalam sistem CCTV lengkap dengan fungsi analitik, sejajar hasrat Kerajaan MADANI untuk menyediakan infrastruktur pintar yang responsif dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan projek kerja baik pulih sistem dewan persidangan, sistem kamera keselamatan CCTV bagi kompleks Parlimen, kediaman rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Taska Parlimen di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Dalam pada itu, Nanta berkata kerja baik pulih sistem persidangan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat disiapkan dalam tempoh 16 bulan melibatkan kos RM16.6 juta.
Beliau berkata objektif utama projek itu adalah bagi menyediakan sistem sandaran untuk memastikan sesi persidangan tidak terganggu sekiranya sistem utama mengalami kegagalan.
Nanta berkata meskipun melibatkan pemodenan teknologi, elemen konservasi tetap dikekalkan memandangkan status Bangunan Parlimen sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dengan mengambil kira pematuhan Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Sementara itu, Johari berkata dewan persidangan yang dinaik taraf kini berfungsi sebagai sistem sokongan sekiranya berlaku sebarang gangguan di dewan utama.
Beliau berkata ruang itu juga telah diubah suai bagi memenuhi dua fungsi penting iaitu sebagai lokasi persidangan Parlimen Belia yang dijadualkan bermula Mei depan serta penempatan baharu bagi Kamar Khas yang sebelum ini bersidang dalam keadaan agak sempit.
-- BERNAMA