KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata keputusan itu dibuat setelah polis menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas pihak terlibat termasuk pemilik premis di sekitar lokasi tersebut.
“Polis menerima surat bantahan semalam daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks dan Harissons serta premis berhampiran tentang kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang hendak membeli-belah dalam masa itu.
“Maklumat bebas juga diperolehi tentang kemungkinan berlaku pecah keamanan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat di lokasi perhimpunan yang dijangka dipenuhi orang ramai yang membeli-belah sempena sambutan perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata polis menasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi berkenaan.
“Polis akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam diutamakan,” katanya.
Fadil berkata pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras gerakan itu pada Selasa lepas bagi mengadakan perhimpunan itu dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi telah mengadakan perbincangan dengan penganjur pada Khamis.
-- BERNAMA