GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini melancarkan Operasi Khas Op Tanjung 2 Siri 1/2026 bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta kedaulatan perairan negara, khususnya di kawasan Selat Melaka Utara yang sering berdepan ancaman pencerobohan vesel nelayan asing (VNA).
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata operasi khas itu bertujuan membendung aktiviti pencerobohan nelayan asing dan sebarang bentuk gangguan kuasa luar, khususnya dari negara jiran.
Bagi memastikan keberkesanan operasi, beliau memaklumkan 14 kapal dan 29 bot APMM Pulau Pinang serta beberapa negeri lain digerakkan secara berfasa dan berjadual bagi menjamin kehadiran berterusan aset penguatkuasaan di kawasan operasi.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan rondaan berterusan, kehadiran fizikal aset di laut dapat dirasai serta membolehkan tindak balas pantas dilaksanakan terhadap sebarang ancaman keselamatan maritim,” katanya dalam kenyataan sempena majlis Pelancaran Operasi Khas Op Tanjung 2 Siri 1/2026 di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Maritim Malaysia yang terlibat secara langsung dalam Operasi Khas Op Tanjung sejak ia mula dilancarkan pada 1 Feb 2021, selain menghargai peranan Maritime Operation Command Center (MOCC) Maritim Negeri Pulau Pinang sebagai pusat penyelarasan utama operasi.
Sementara itu, Mohd Zawawi memaklumkan Operasi Khas Op Tanjung Bil. 1/2021 masih diteruskan sehingga kini di perairan Selat Melaka Utara sebagai usaha berterusan bagi mengekang pencerobohan serta melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.
“Pada operasi kali ini, Ketua Gugus Tugas (KGT) dilantik dalam kalangan kepimpinan kanan APMM, terdiri daripada Pengarah Bahagian Operasi Udara Laksamana Pertama Maritim S.Ragu, Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang selaku MOCC Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli serta Pengarah Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut, Perak Kepten Maritim Aidil Adzhar Salleh,” katanya.
Beliau berkata Gugus Tugas (GT) pula melibatkan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, dan Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.
Selain rondaan laut, beliau berkata operasi itu turut disokong dengan pemantauan udara secara berkala menggunakan pesawat Maritim Malaysia, bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal, memantau pergerakan VNA serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
-- BERNAMA