AM

Belum Ada Garis Masa Bawa Penambahan Kerusi DUN Sarawak Ke Parlimen - Nanta

07/02/2026 03:55 PM

KUCHING, 7 Feb (Bernama) -- Penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang diluluskan pada persidangan sebelum ini, belum mempunyai garis masa jelas untuk dibawa ke Dewan Rakyat, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata setakat ini, tiada maklumat terperinci mengenai tarikh pembentangan kerana proses itu masih dibincangkan pada peringkat berkaitan.

“Kita belum ada maklumat lagi,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipengerusikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Ditanya jika penambahan kerusi itu sempat dilaksanakan menjelang pilihan raya negeri akan datang yang mesti dilaksanakan selewat-lewatnya Februari 2027, Nanta berkata perkara tersebut tidak dapat dipastikan berikutan ketiadaan garis masa yang jelas.

Beliau yang juga Setiausaha Agung GPS berkata perkara itu telah dibincangkan dan sedang diusahakan, namun tiada perincian lanjut dapat dikongsi buat masa ini.

Pada Persidangan Khas DUN Sarawak pada Julai tahun lepas, Rang Undang-Undang DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 telah diluluskan, sekali gus menyaksikan penambahan jumlah kerusi DUN Sarawak kepada 99 daripada 82. 

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan kajian semula persempadanan hanya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas tamat tempoh lapan tahun.

Bagi Sarawak, beliau berkata tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan negeri itu telah berakhir pada 21 Ogos 2023.

“SPR kini dalam proses menyediakan syor kajian semula persempadanan bagi negeri itu sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521240