AM

Tibi: 29 Daripada 33 Kes Positif Direkod Di Felda Sungai Mas, JKNJ Ambil Langkah Proaktif

05/02/2026 04:21 PM

JOHOR BAHRU, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 29 daripada 33 kes Tuberkulosis (tibi) di daerah Kota Tinggi direkodkan berlaku di Felda Sungai Mas, kata Pengarah Kesihatan Johor Mohtar Pungut @ Ahmad. 

Beliau bagaimanapun berkata pecahan umur bagi kes-kes itu tidak dapat diberikan pada masa ini.

“Setakat ini, situasi masih terkawal dan semua kontak rapat telah diarahkan menjalani saringan di klinik kesihatan yang ditetapkan. 

“Kami menasihatkan penduduk supaya terus menjaga kebersihan diri dan mematuhi nasihat kesihatan bagi mengelak penularan TB,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohtar berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi membendung penularan penyakit itu, antaranya aktiviti pengesanan kontak bagi kes positif yang dikesan.

Pihaknya menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi turut menjalankan saringan tibi bagi semua kontak rapat di klinik kesihatan yang telah ditetapkan. 

“Rawatan kes tibi dipantau dan dijalankan mengikut garis panduan melalui perbincangan bersama pakar perubatan keluarga, pakar respiratori, pakar pediatrik serta pakar pediatrik respiratori di negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata sesi libat urus turut diadakan bersama komuniti setempat, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan pejabat Felda bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang penyakit ini. 

Selain itu, Mohtar berkata aktiviti promosi kesihatan secara bersasar dijalankan melalui nasihat individu serta hebahan poster melalui platform media massa. 

“Bagi kontak yang disahkan negatif, saringan Jangkitan TB Laten (LTBI) dilakukan dan rawatan pencegahan diberikan sekiranya dikesan positif LTBI,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kluster berkenaan dikesan pada 25 Jan lepas, dengan 33 kes positif dikenal pasti hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520487