AM

Satu Kluster Tibi Dikesan Di Kota Tinggi, 804 Disaring, 33 Positif - Dzulkefly

05/02/2026 08:40 AM

JOHOR BAHRU, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kluster Tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi pada 25 Jan lepas dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb. 

 Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan agresif bagi membendung penularan wabak berkenaan. 

“Kesemua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan sedang dipantau rapi oleh pihak KKM,” katanya menerusi hantaran di laman X lewat malam tadi. 

Dzulkefly berkata satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.

Beliau berkata KKM kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi, dengan tindakan pengesanan kes secara aktif atau Active Case Detection akan diteruskan bagi memastikan keselamatan komuniti setempat.

Dzulkefly berkata penduduk sekitar yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam diminta supaya segera menjalani saringan kesihatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik.

Penyakit tibi turut dikenali sebagai batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara kepada kontak rapat yang berdekatan.

Gejala penyakit tibi termasuklah batuk berpanjangan, hilang berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan batuk berdarah.

 Penyakit tibi boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya melalui rawatan yang efektif dengan tempoh rawatan minima selama enam bulan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520241