KOTA TINGGI, 27 Jan (Bernama) -- Kebakaran tanah gambut sejak Jumaat lepas di Jalan Sungai Kapal dan Taman Bayu Damai, Pengerang kini mencecah 99.54 hektar dengan operasi pengeboman air menggunakan helikopter dijadualkan bermula pagi esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata setakat tengah hari ini, kira-kira 28.33 hektar atau 28 peratus kawasan terlibat berjaya dipadamkan hasil operasi bersepadu bomba, polis dan agensi berkaitan.
Beliau berkata penggunaan helikopter amat penting bagi memadam kebakaran di kawasan tanah gambut yang sukar diakses dari darat serta melibatkan kebakaran bawah permukaan.
“Penyekat kebakaran telah dibuat di sekeliling kawasan terbakar bagi membolehkan pelaksanaan banjir menyeluruh manakala operasi pengeboman air dijangka membantu mempercepat proses pemadaman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ezam berkata operasi pemadaman diteruskan sehingga tengah malam ini manakala operasi pengeboman air dijadualkan bermula 9 pagi esok bergantung kepada cuaca dan angin.
Beliau berkata sebanyak 26 anggota bomba dibantu aset hidrosub dengan sokongan polis dan agensi lain dikerahkan dalam operasi itu yang kini menumpukan beberapa lokasi panas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan setakat 4 petang ini, sebanyak 150 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal akibat kebakaran itu.
Semalam, kebakaran tanah gambut di Punggai dilaporkan merebak daripada 5.26 hektar kepada 12.14 hektar susulan cuaca kering dan berangin sekali gus membawa asap tebal ke kawasan perumahan Taman Bayu Damai, Pengerang.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan di sekitar Jalan Langkah Baik 3, Taman Bayu Damai masih diliputi kepulan dan bau asap yang kuat menyebabkan kesukaran bernafas serta mengehadkan jarak penglihatan.
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan Sungai Rengit termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga dilihat giat menjalankan operasi pemadaman api di sekitar Jalan Langkah Baik 3.
-- BERNAMA