AM

KPWKM Pergiat Pelbagai Inisiatif Tingkat Penyertaan Wanita Dalam Tenaga Kerja - Lim

04/02/2026 01:57 PM

BUKIT MERTAJAM, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mempergiat pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara bagi mencapai sasaran peringkat nasional sebanyak 60 peratus menjelang 2033.

Timbalan Menteri berkenaan Lim Hui Ying berkata ketika ini kadar penyertaan tenaga buruh wanita di peringkat nasional telah mencapai 56.9 peratus, namun usaha berterusan perlu diperkukuh bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Beliau berkata antara usaha dilakukan termasuk melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula khususnya bagi menggalakkan golongan suri rumah kembali ke pasaran pekerjaan.

“Walaupun nampak sikit (sasaran 60 peratus) tetapi bukan mudah untuk dicapai. Justeru kita akan berusaha sedaya upaya bagi mencapai sasaran ini menjelang 2033 termasuk menggalakkan terutamanya golongan suri rumah kembali ke bidang pekerjaan.

“Di bawah Pelan Pembangunan Wanita, banyak inisiatif telah dirancang dan akan dilaksanakan di seluruh negara melalui setiap negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Dr Faridah Awang.

Lim berkata kadar 56.9 peratus itu adalah yang berdaftar dengan sektor formal, manakala masih terdapat ramai wanita bekerja dalam sektor informal serta golongan suri rumah sepenuh masa tidak termasuk dalam statistik tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi penjagaan dan industri penjagaan sebagai sektor berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada wanita.

Terdahulu dalam ucapannya, Lim berkata Pulau Pinang mencatatkan peningkatan kadar memberangsangkan penyertaan tenaga kerja wanita iaitu 57.6 peratus pada 2024 berbanding 46.7 peratus pada 2022 dan 47.3 pada 2023.

Beliau berkata peningkatan itu selari dengan kedudukan negeri itu sebagai hub industri, teknologi, pendidikan dan ekonomi kreatif selain membuktikan kemajuan Pulau Pinang tidak dapat dicapai tanpa penglibatan aktif golongan wanita.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519936