AM

JBPM Pahang Terima 82 Panggilan Kes Kebakaran Terbuka Sepanjang Januari

04/02/2026 08:10 PM

KUANTAN, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima 82 panggilan kes kebakaran terbuka sepanjang Januari lepas, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding hanya sembilan kes direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. 

Pengarah JBPM Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kes berkenaan melibatkan kebakaran hutan, belukar atau lalang, dan sampah. 

"Pada Januari tahun lepas, pihak kami tidak menerima panggilan kebakaran hutan, tetapi pada 2026 dalam tempoh sama, tujuh kes telah direkodkan, manakala pembakaran melibatkan belukar atau lalang serta sampah masing-masing 65 dan 10 kes yang diterima. 

"Jadi, kita nampak trend kebakaran ini sudahpun bermula di negeri ini, khususnya di kawasan tanah gambut," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahunan JBPM Pahang, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, tiupan angin turut meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan cepat, justeru pengusaha pertanian dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka. 

Sementara itu, Mohd Razam berkata terdapat lapan titik panas lokasi berisiko berlaku kebakaran di Pahang melibatkan daerah Pekan, Bentong dan Temerloh. 

Beliau berkata sepanjang musim kemarau, pemantauan dan rondaan di kawasan yang berisiko sentiasa dijalankan pada waktu kemuncak dan pihaknya juga peka dengan maklumat terkini, selain turut berhubung dengan agensi penyelamatan serta bantuan lain.

“Rondaan secara berkala akan dilakukan bersama-sama agensi terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan dan pemilik ladang bagi memastikan kebakaran terbuka dapat dicegah pada peringkat awal,” katanya.

Bersempena dengan musim perayaan besar yang bakal tiba, beliau turut menasihati peniaga serta orang ramai agar berhati-hati dalam penyimpanan dan penggunaan bunga api serta mercun.

“Pastikan penyimpanan dibuat di lokasi selamat, jauh dari kawasan kediaman dan mematuhi aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian letupan atau kebakaran.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memantau aktiviti kanak-kanak ketika bermain bunga api bagi mengelakkan kecederaan serta kejadian tidak diingini,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520167