JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Mengamuk Di Restoran Mamak Didenda RM11,800

04/02/2026 07:39 PM

IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Seorang wanita didenda RM11,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, iaitu mencederakan dua lelaki dan melakukan khianat di sebuah restoran di sini, Rabu lepas.

Nurfarahanim Soaid, 29, yang mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu turut diarah menjalani 12 bulan penjara jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamed Hussain Mubarakali dengan cara menampar dan menumbuk pengadu di Restoran SK Naina, 2-1, Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai, di sini pada kira-kira 6.26 pagi, 28 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurfarahanim merayu dikenakan hukuman ringan kerana disahkan menghidap bipolar, selain merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal kepada tiga anak.

Majistret Anis Hanini Abdullah kemudiannya menetapkan denda RM1,800 dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pada prosiding berasingan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muniasamy Rathinavel Nadar dengan menggunakan garpu di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dia didakwa sengaja melakukan khianat dengan memecahkan tiga keping cermin penghadang makanan milik restoran itu yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Robert S. Gnanarajan.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menetapkan denda RM6,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda untuk pertuduhan pertama, manakala denda RM4,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.

Berdasarkan fakta kes, wanita itu telah meminta pengadu membuat pemindahan wang ke dalam akaun miliknya, namun pengadu telah memaklumkan bahawa restoran tidak mempunyai akaun untuk pemindahan dan bayaran hanya boleh dibuat secara tunai.

Susulan itu, tertuduh telah mengamuk dengan meninggikan suara dan melemparkan makanan di dalam restoran, selain mengambil sebatang garpu dan mencucuk dada rakan pengadu (Muniasamy) sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Nurfarahanim juga telah mengambil sebilah pisau pemotong daging yang digunakan di dalam restoran dan menggunakan pisau itu untuk memecahkan tiga keping cermin penghadang makanan di hadapan kaunter pembayaran sehingga menyebabkan kerosakan harta benda di dalam restoran itu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520150