JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Rugi RM10,000 Selepas Beg Galas Dalam Kereta Dicuri

31/01/2026 06:39 PM

BALING, 31 Jan (Bernama) -- Seorang wanita kerugian RM10,000 selepas beg galas yang diletakkan di dalam keretanya dicuri dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Kupang dekat sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Brandon Richard Joe berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 8.40 pagi ketika wanita berkenaan dikatakan meletakkan kereta Perodua Avanza berwarna kelabu di tepi pasar raya berkenaan.

“Laporan polis diterima pada 11.40 pagi pada hari sama… wanita itu dikatakan keluar daripada kereta dan masuk ke pasar raya untuk membeli barang keperluan.

“Selepas selesai membeli barang, mangsa terus pulang ke rumah dan menyedari beg galasnya tiada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kenderaan itu diletakkan pada jarak 15 meter dari pintu hadapan pasar raya berkenaan.

“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an telah membuka pintu hadapan kenderaan itu dan melarikan beg galas milik mangsa.

“Wang tunai RM10,000 itu adalah hasil perniagaan yang dibawa mangsa untuk disimpan di dalam bank dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518978