TANJONG MALIM, 31 Jan (Bernama) -- Lebih enam dekad selepas menjejakkan kaki sebagai seorang pelajar muda di Sultan Idris Training College (SITC), kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bekas Menteri Negara Kanan (Pendidikan) Singapura Datuk Seri Sidek Saniff mengenang kembali perjuangannya mendapatkan pendidikan perguruan.
Beliau yang kini berusia 88 tahun adalah antara pelajar SITC terawal dari Singapura yang menuntut di Tanjong Malim sekitar 1955 hingga 1957 iaitu ketika institusi itu menjadi simbol tertinggi pendidikan guru di Nusantara, malah dipilih sebagai ketua pelajar pada tahun akhir pengajiannya.
“Pada 1957, kita telah mencadangkan untuk membuat pemilihan ketua pelajar secara demokrasi. Yang lebih mengharukan ketika itu, rakan-rakan daripada Tanah Melayu ingin saya menjadi ketua, walhal Singapura belum lagi merdeka tetapi Tanah Melayu di ambang kemerdekaan pada 31 Ogos.
“Peristiwa ini sangat bermakna bagi saya kerana di SITC ini bukan sekadar tempat belajar, di sinilah saya belajar tentang nilai manusia, keterbukaan fikiran dan demokrasi,” katanya kepada Bernama.
Tokoh republik Singapura itu yang menjadikan Abdul Razak Abdul Hamid atau Razak Sensei sebagai idola ditemui pada Majlis Reunion Bekas Pelajar SITC di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, di sini hari ini.
Sementara itu, bekas pelajar SITC Datuk Abdul Aziz Abdullah, 91, berkata penubuhan institusi itu pada 1922 menjadi titik perubahan besar dalam usaha mengangkat martabat orang Melayu menerusi pendidikan, khususnya dalam melahirkan guru-guru terlatih ketika era penjajahan British.
“Kalau zaman orang putih dulu, orang Melayu tak dibenarkan belajar tinggi, lepas darjah lima habis, kalau nak sambung kena jadi guru pelatih dan masuk SITC. Jadi, SITC ditubuhkan khusus untuk melatih guru-guru Melayu dari seluruh Tanah Melayu.
“Dulu semua guna bahasa Inggeris, tetapi selepas lahir ramai guru dari kalangan orang Melayu, bahasa ini sudah digunakan sampai universiti dan ini yang buka peluang luas kepada orang Melayu untuk belajar serta jadi pemimpin,” katanya yang memasuki institusi itu pada 1951.
Dalam pada itu, Presiden Alumni SITC Datuk Seri Ahmad Burak yang juga Ahli Lembaga Pengarah UPSI berkata program berkenaan bertujuan menghimpunkan bekas pelajar dari era terawal SITC yang kini sebahagiannya telah menjangkau usia hampir 100 tahun.
“Tujuan yang utama sekali kami nak temukan mereka sebab ada yang tak berjumpa antara 40 hingga 60 tahun. Bayangkan ada antara mereka ini yang memasuki SITC ketika berusia 13 tahun.
“Selain itu, program ini menjadi platform amat berguna untuk didokumentasikan, disimpan oleh pihak universiti sebab jumlah mereka ini makin hari makin berkurangan dan paling penting pertemuan ini juga menjadi wadah untuk kita mempelajari sesuatu daripada tokoh-tokoh SITC yang hadir,” katanya.
Beberapa program lain turut dianjurkan pada majlis hari ini yang dihadiri lebih 60 peserta seperti tayangan sejarah penubuhan SITC, lawatan ke Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI iaitu bangunan lama SITC serta program kemuncak pada sebelah malam iaitu Majlis Makan Malam Reunion Rasmi.
-- BERNAMA