AM

Pengukuhan Ringgit Bantu Kawal Kos Perniagaan PMKS

31/01/2026 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memberi nafas lega kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang melihat perkembangan itu berpotensi mengurangkan kos perniagaan serta mengelakkan kenaikan harga jualan.

Awal minggu ini, ringgit mengukuh dan melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS dan meneruskan peningkatan yang bermula seminggu sebelumnya, sekali gus memaparkan pemulihan sentimen terhadap asas ekonomi negara dan kestabilan politik.

Tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati majoriti peniaga kecil menyambut baik perkembangan itu walaupun kesan sebenar terhadap kos bahan import masih dinanti-nantikan.

Di JOHOR, pengusaha Kopi Tenggek di Tanjung Piai, Ghazaley Ayiub, 59, menyifatkan pengukuhan ringgit memberi kesan positif kepada perniagaannya yang menggunakan peralatan dapur import dari China.

Katanya meskipun banyak menggunakan biji kopi Liberica dari Johor, nilai ringgit yang lebih kukuh secara tidak langsung membantu mengurangkan kos pembelian barangan lain dari luar negara.

“Kami masih mendapatkan peralatan dapur dari China bagi cawangan kedua di Larkin. Jadi, memang ada penjimatan dan ini membantu kami mengekalkan harga jualan,” katanya yang optimis perkembangan itu juga dijangka menarik lebih ramai pelanggan dari Singapura.

Sementara itu, Pengurus Rodakafe Irwan Latiff berkata kesan positif pengukuhan ringgit hanya akan dirasai jika keadaan tersebut berterusan untuk tempoh lebih panjang dan manfaatnya disalurkan oleh pengeluar serta pembekal kepada pengusaha kecil.

"Kami berharap kerajaan serta agensi berkaitan dapat memantau rantaian bekalan dengan lebih berkesan bagi memastikan penurunan kos import benar-benar sampai kepada pengusaha kecil dan sederhana,” katanya yang turut berpendapat kos utiliti wajar dikurangkan supaya PMKS dapat beroperasi lebih efisien.

Di TERENGGANU, pengusaha Kafe CantekSekali, Rina Rahman, 48, berkata 50 peratus bahan mentah di premis perniagaanya adalah barangan import dan nilai ringgit pastinya memberi kesan sangat besar kepada kos operasi serta keuntungan perniagaan yang diusahakan sejak 2017.

"Diharapkan harga barangan kekal stabil dan tidak naik dengan mendadak. Ini akan memberi sedikit ruang untuk kami bernafas selepas melalui tekanan akibat kenaikan harga barangan selama bertahun-tahun," katanya ketika ditemui di Kafe CantekSekali di Jalan Dato Isaac, Kuala Terengganu. 

Rina berkata beliau turut mengurus stok secara strategik termasuk menyimpan barangan tahan lama seperti tepung selain membeli barangan lain secara pukal untuk menjimatkan kos. 

Pengusaha kantin di PAHANG, Marina Abbas, 49, pula menjangkakan impak positif terhadap harga bahan mentah seperti beras dan daging import.

"Walaupun belum nampak perubahan besar dari segi harga barang bekalan buat masa ini, saya percaya ia akan menurun. Bahan seperti beras dan daging import yang boleh dibeli pada harga lebih murah sudah tentu menggembirakan peniaga seperti kami," katanya.

Hidayat Abdul Halim, 48, pula melihat pengukuhan ringgit sebagai peluang untuk menaik taraf peralatan perniagaannya.

"Sebelum ini saya terpaksa menangguhkan perancangan untuk membeli mesin baharu kerana modal yang ada tidak mencukupi, jadi dengan naiknya nilai ringgit saya yakin harga akan jadi lebih murah dan mampu milik," katanya yang berharap harga kopi import akan turun.

Di PERLIS, kebanyakan peniaga kecil antaranya Husaimi Hashim, 64, dan Abdul Salam Saad, 57, mengakui mereka belum merasai kesan langsung pengukuhan mata wang tempatan, namun tetap bersyukur dengan perkembangan positif itu.

Husaimi, 64, peniaga makanan di Kangar berkata pengukuhan ringgit diharap dapat membantu menurunkan kos barangan import seperti daging, bawang dan sayur-sayuran.

“Memang kita bersyukur ringgit mengukuh tapi setakat ini harga barangan masih sama. Kalau duit kita kekal mengukuh, saya harap dapat ringankan beban peniaga kecil macam kami apabila kos bahan mentah akan jadi lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Salam yang berniaga sejak lima tahun lepas di Kuala Perlis turut berkongsi pandangan sama bahawa perubahan harga di peringkat pembekal masih belum ketara.

“Buat masa ini pengukuhan ringgit belum beri impak besar lagi,” katanya sambil memaklumkan beliau membelanjakan lebih RM300 sehari bagi pembelian barangan mentah.

Sementara itu di SARAWAK, pengusaha dan peniaga kecil yakin perkembangan nilai ringgit yang mengukuh bakal memberi ruang untuk peningkatan kuasa beli pengguna, yang secara tidak langsung mampu mengimbangi serta mengawal kenaikan harga barangan di pasaran. 

Pengusaha kafe Said Ismail, 67, berkata walaupun pengukuhan nilai ringgit belum lagi membawa perubahan besar kepada perniagaannya, beliau optimis ia akan membawa impak positif kepada ekonomi tempatan sekiranya perkembangan tersebut berterusan.

“Ia akan lebih baik dan mendorong kepada persaingan sihat kalau nilai mata ringgit pada tahap RM3.5 berbanding dolar Amerika, tetapi ketika ini paras RM3.9 juga sesuatu yang positif dan terkawal,” katanya

Bagi pengusaha gerai Aini Sah, 58, kesan pengukuhan itu tidak dapat dirasakan secara drastik namun perkembangan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang baik kepada peniaga mikro, sederhana mahupun syarikat besar.

Di SABAH, golongan peniaga kecil khususnya yang bergantung kepada bahan mentah import, yakin kos operasi dapat dikurangkan jika nilai ringgit terus mengukuh. 

Rayner Lo, 45, yang mengusahakan gerai makanan berharap perkembangan positif itu dapat dikekalkan untuk tempoh lebih lama agar rakyat dapat menikmati manfaatnya, selain mendorong kepada pengurangan kos rantaian ditanggung peniaga.

"Kita juga berharap peniaga kedai runcit tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518933