JAKARTA, 31 Jan (Bernama) -- Indonesia memutuskan untuk menubuhkan sebuah syarikat milik kerajaan (BUMN) baharu yang dikenali sebagai Perusahaan Mineral Nasional (Perminas) bagi menguruskan sumber mineral nadir bumi strategik di seluruh negara.
Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata arahan itu datang secara langsung daripada Presiden Prabowo Subianto yang telah mengarahkan dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, untuk menyelia pembentukannya.
“Kerajaan telah mengenal pasti beberapa kawasan perlombongan untuk diletakkan di bawah Perminas, termasuk lombong emas Martabe di Sumatera Utara yang sebelum ini dikendalikan oleh Agincourt Resources, yang lesen operasinya dibatalkan baru-baru ini atas dakwaan pelanggaran peraturan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita ANTARA pada Jumaat.
Agincourt Resources merupakan antara 28 syarikat yang dibatalkan lesen operasi kerana didakwa melanggar peraturan penggunaan hutan, susulan kejadian banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di utara Sumatera pada November lepas, yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Indonesia Rosan Roeslani berkata Perminas akan memberi tumpuan kepada mineral nadir bumi, sekali gus membezakan peranannya daripada syarikat pegangan perlombongan milik negara sedia ada, MIND ID.
Mengenai potensi pengambilalihan kawasan perlombongan Martabe, beliau berkata pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada kerajaan pusat.
-- BERNAMA