SUKAN

Mohd Shazli CEO Baharu MFL

30/01/2026 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Shazli Shaik Mohd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Feb ini, sekali gus mengesahkan jawatan yang dipangkunya sejak Mac tahun lepas.

MFL dalam kenyataan memaklumkan Mohd Shazli telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) sejak 2018 dan memiliki pengalaman luas dalam ekosistem bola sepak tempatan termasuk memegang beberapa jawatan penting sebelum ini.

Mohd Shazli sebelum ini memangku tugas sebagai CEO MFL sejak 3 Mac 2025 dan memiliki pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak, khususnya dalam memastikan kelancaran operasi pertandingan serta urusan sekretariat liga profesional negara.

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam pada itu berharap pemilihan Mohd Shazli dapat memperkukuh badan pengelola liga profesional tanah air itu selaras hala tuju strategik Liga Malaysia (Liga-M).

“Pengalaman dan komitmen ditunjukkan Mohd Shazli sepanjang bersama MFL, khususnya ketika memangku jawatan CEO, memberikan keyakinan kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah MFL bahawa beliau individu yang tepat untuk menerajui organisasi ini,” katanya dalam kenyataan sama.

Mohd Shazli ialah bekas pemain remaja Pulau Pinang dan pernah memegang jawatan Ketua Unit Pertandingan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dari 2015 hingga 2018.

Selain itu, beliau berpengalaman mengetuai Unit Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 2013 hingga 2014, menjadi Ketua Unit Bolasepak Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Majlis Sukan Negara (MSN) dari 2010 hingga 2012, serta terlibat dalam barisan pengurusan skuad kebangsaan dan pertandingan FAM antara 2003 hingga 2006.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518676