DUNIA

Mahkamah Panama Putuskan Kontrak Pelabuhan Di Terusan Panama Tidak Sah

30/01/2026 08:11 PM

MOSCOW, 30 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Mahkamah Agung Panama memutuskan bahawa konsesi yang dipegang oleh anak syarikat konglomerat CK Hutchison Holdings dari Hong Kong untuk mengendalikan pelabuhan di kedua-dua hujung Terusan Panama adalah tidak berperlembagaan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada sesi biasa lewat Khamis, Mahkamah Agung Panama memutuskan bahawa Akta No. 5 bertarikh 16 Januari 1997, pindaan-pindaan terhadapnya, dan akta pelanjutan konsesi itu adalah tidak berperlembagaan, kata mahkamah.

Undang-undang dan akta yang dipertikaikan itu berkaitan dengan perjanjian konsesi antara kerajaan Panama dan syarikat Panama Ports Corporation untuk pembangunan, pembinaan, pengendalian, dan pengurusan terminal kontena di pelabuhan Balboa dan Cristobal.

Kontrak dengan Panama Ports Corporation ditandatangani pada 1997 dan memberikan syarikat itu kawalan ke atas terminal maritim utama Panama selama 25 tahun. Pada 2021, perjanjian itu dilanjutkan sehingga 2047 tanpa kelulusan badan pemantau. Menurut anggaran juruaudit, kerugian yang ditanggung oleh kerajaan akibat terma kontrak yang tidak menguntungkan itu melebihi US$1.3 bilion.

-- BERNAMA-SPUTNIK

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518741