GAYA HIDUP

Rezeki Fasih Mandarin, Razzuan Rosli Dilamar Jadi Bintang Utama Filem Grab Boy Cinematic Universe

30/01/2026 12:51 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 30 Jan (Bernama) -- Bermula daripada video tular berbahasa Mandarin ketika menjual jus avokado di pasar malam, pelakon Razzuan Rosli memikat penerbit dan pengarah filem aksi Grab Boy Cinematic Universe, yang menawarkannya watak utama dalam naskhah itu.

Filem berskala antarabangsa yang sebahagian besarnya dalam bahasa Mandarin dengan sedikit bahasa Melayu dan Tamil itu merupakan karya sulung anak tempatan Julian Lim yang mempunyai pengalaman bekerja dalam industri filem di Amerika Syarikat.    

Menyifatkan peluang itu sebagai detik penting buatnya, Razzuan berkata tawaran yang diterima minggu lalu tersebut adalah “rezeki besar” dalam perjalanan karya seninya, memandangkan filem berkenaan disasar menembusi pasaran Hong Kong dan Taiwan.

pic-2

“Tawaran ini sangat bermakna untuk saya. Sebagai pelakon yang tidak begitu dikenali, saya sentiasa mencari peluang. Jadi, apabila peluang ini datang, memang saya sangat bersyukur.

“Secara tidak langsung, ia membuka ruang untuk saya dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga mungkin di luar negara,” katanya kepada Bernama.

Dikenali menerusi lakonannya dalam drama Panggil Aku Dahlia dan Tujuh Hari Mencintaimu 2, Razzuan berkata filem tersebut menuntutnya melakukan persediaan mental dan fizikal kerana beliau bakal melakonkan watak penembak tepat.

pic-3

“Ini kali pertama saya memegang watak utama dalam filem aksi. Untuk pasaran antarabangsa, saya perlu banyak belajar dan membuat kajian supaya apa yang disampaikan dapat diterima penonton luar,” katanya, menambah beliau juga akan memantapkan penguasaan bahasa Mandarinnya.

Penggambaran dijadualkan bermula hujung tahun ini dengan tayangan disasarkan pada tahun depan atau awal 2028.

Menurut Razzuan, beliau difahamkan keseluruhan tenaga kerja produksi melibatkan kru tempatan, manakala proses pascaproduksi termasuk penyuntingan, penggredan warna dan kesan visual akan dijalankan di China.

Mengangkat genre aksi drama, filem berkenaan mengisahkan sekumpulan wira Malaysia tanpa kuasa luar biasa yang bersatu menentang cabaran dari bumi hingga ke angkasa lepas, sambil menonjolkan perpaduan rakyat Malaysia Melayu, Cina dan India.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518502