AM

Kerajaan Kaji Penambahbaikan Model Pemilihan Bakal Jemaah Haji

29/01/2026 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menambah baik model pemilihan bakal jemaah haji supaya lebih bersasar termasuk mengambil kira faktor kemampuan kewangan, umur dan tahap kesediaan jemaah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata perkara itu masih dalam penelitian memandangkan pelbagai aspek perlu dipertimbangkan, antaranya kos menunaikan ibadah haji serta jumlah kuota ditetapkan.

“Kita tidak boleh mengenepikan faktor-faktor yang kita sebutkan tadi tentang kos haji, tentang kuota maka banyak perkara yang perlu diambil kira. Insya-Allah pihak Tabung Haji (TH) akan sentiasa kemas kini dari semasa ke semasa berkaitan isu ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) bertanyakan sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan satu model pemilihan bakal haji lebih bersasar susulan data menunjukkan 50 peratus bakal jemaah haji mengambil keputusan menangguhkan tawaran diterima daripada Lembaga Tahun Haji pada musim haji tahun lepas manakala 18 peratus tahun ini, antaranya disebabkan ketidakmampuan kewangan.

Jamaludin mencadangkan agar sistem sedia ada mengekalkan dasar pendaftaran awal ditambah baik dengan menggabungkan indikator kemampuan kewangan minimum, umur dan kesediaan jemaah bagi mengelak pembaziran tenaga kerja apabila memanggil bakal jemaah haji yang belum bersedia sedangkan masih terdapat pendeposit yang mencukupi simpanan tetapi berada jauh dalam senarai menunggu.

Terdahulu, Marhamah berkata hanya 18 peratus bakal jemaah haji musim ini menangguhkan tawaran yang diterima, satu rekod penurunan drastik berbanding musim haji tahun lepas sebanyak 50 peratus.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 10 peratus menangguhkan tawaran haji atas alasan simpanan tidak mencukupi, masalah kesihatan (36 peratus), masalah peribadi (37 peratus) dan faktor lain (17 peratus).

Menjawab soalan asal Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai usaha kerajaan mempermudah akses pendeposit TH menunaikan ibadah haji supaya mereka tidak menghadapi kebimbangan dari segi kewangan dan kesihatan, Marhamah berkata data TH menunjukkan terdapat lebih 53 peratus daripada keseluruhan 9.7 juta pendeposit mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300.

“Ini menuntut TH untuk melaksanakan langkah strategik yang lebih tersusun, sistematik dan mampan termasuk melancarkan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang demi manfaat pendeposit.

“Justeru, TH komited melaksanakan inisiatif penambahbaikan baharu secara menyeluruh dan berperingkat termasuk melancarkan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang bagi membantu pendeposit merancang perjalanan simpanan haji lebih disiplin dan sistematik dalam membina kesiapsiagaan menuju istito’ah (kemampuan),” katanya.

Beliau berkata TH turut memperkasakan pendidikan kepada bakal haji dengan memanggil mereka menghadiri kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran bagi membantu dalam persediaan menjaga kesihatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518126